Saturday, April 12, 2014


 
PAS sentiasa terbuka dalam menerima sesiapa sahaja sebagai sahabat, tanpa mengira latar belakang mereka asalkan mereka sanggup memberi ruang ataupun kerjasama kepada penyebaran dan perkembangan Islam.

Demikian yang dinyatakan oleh Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang semalam ketika menerima kunjungan muhibbah wakil NGO Haji Kamarudin Abdullah di rumahnya semalam.
Beliau memberi contoh tahaluf siyasi yang diadakan PAS dengan DAP, yang mana kesannya sangat positif apabila mereka mula membaca buku-buku Islam bagi menambah lagi pengetahuan mereka berkaitan Islam.
Keterbukaan PAS ini adalah salah satu daripada ramuan kejayaan mereka dalam mendepani halangan-halangan politik semasa iaitu saling lengkap melengkapi keperluan diantara masyarakat majmuk di Malaysia.
“Kita bersama bergerak membuang halangan yang ada untuk kelangsungan Islam.
Sehingga ada sesetengah orang kristian masuk Islam kerana surah at-Tiin yang mana permulaan ayat surah itu menyebut demi buah tiin, demi buah zaitun dan demi bukit Sinai dan demi tanah (Mekah) yang aman ini.
Mereka mendapati penyebutan buah tiin dan zaitun itu merujuk kepada tempat lahir nabi Isa a.s yang sememangnya subur dengan buah tiin dan zaitun, Bukit Tursina bagi nabi Musa dan tanah yang aman ialah Mekah.
Oleh kerana merasakan adanya hubungan ini maka ada orang kristian masuk Islam,” terang beliau.
Tambah beliau lagi, bangsa arab adalah bangsa yang paling keras jiwa mereka tetapi akhirnya tunduk kepada Islam melalui rasulullah, menunjukkan dengan kaedah dakwah yang berkesan akan membawa kejayaan.
Beliau menyarankan agar pendakwah-pendakwah memberikan kefahaman dan penerangan kepada sasaran dakwah mereka dengan fakta, hujah dan dialog dan bukannya menyerang serta bergerak dalam organisasi yang tersusun.
Maka tiada sebab sasaran dakwah itu akan menolak Islam selepas mereka difahamkan dengan fakta-fakta yang jelas tentang kebenaran islam.
Presiden NGO Islamic Propagation Society International (IPSI) Haji Kamarudin Abdullah yang diraikan sebagai tetamu Presiden PAS itu, melahirkan rasa gembiranya dengan kesanggupan kerjasama dari pihak PAS.
Beliau yang datang bagi mengadakan program penerangan berkenaan berdakwah kepada bukan Islam di sekitar Marang berkata banyak kelemahan yang beliau perhatikan dalam cara berdakwah kepada bukan Islam.
Beliau menyarankan agar para pendakwah membuang pemikiran sempit seperti menekankan bangsa, puak, parti dalam menyampaikan dakwah.
Kefahaman yang lemah dalam ilmu Islam juga memberikan kesan yang besar kepada cara berdakwah dan kadangkala menjadikan Islam itu lebih buruk pada pandangan bukan Islam.
“Kelemahan sebahagian pendakwah ialah tidak faham sepenuhnya berkenaan Islam.
Pendakwah mesti meningkatkan ilmu mereka dari semasa ke semasa dan kemantapan kefahaman kepada sesuatu perkara mesti diasah agar dapat salah faham dapat dielakkan,” tegas beliau.
IPSI ialah satu pertubuhan bukan kerajaan yang melakukan dakwah kepada bukan Islam dengan aktif disemua peringkat yang berpusat di Pulau Pinang dimana mereka adalah satu-satunya pertubuhan dakwah yang mempunyai bangunan sendiri.

Wednesday, April 2, 2014

Bismillah

1 – Saya merujuk satu laporan akhbar yang melaporkan Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said telah mengumumkan bahawa kerajaan negeri dalam proses membeli dua buah ‘Amphicoach’ ataupun Bas Amfibia (dua alam) berharga tiga juta ringgit setiap satu bagi menjadi tarikan terbaru pelancong di Pulau Bebas Cukai di Tasik Kenyir.
2 – PAS Terengganu memandang langkah pembelian ini sebagai satu perkara yang tidak penting, tidak mendesak dan  tidak perlu diberi keutamaan. Ini kerana  sepatutnya kerajaan lebih mengutamakan pengusaha-pengusaha bot yang telah sekian lama menjalankan perniagaan mereka di situ. Langkah memperkenalkan Amphicoach ini hanya akan mengundang ketidakpuashatian para pengusaha sedangkan matlamat industri pelancongan adalah bagi meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

3 – Alasan MB dengan menyatakan pembelian ini adalah strategi serampang dua mata iaitu ianya boleh digunakan juga bagi operasi menyelamat banjir adalah dangkal dan tidak berpijak di bumi nyata. Jika sekiranya ketika banjir, ianya hanya ingin digunakan untuk mengangkut orang ramai ke tempat yang lebih selamat, banjir baru-baru ini telah membuktikan yang kita tidak memerlukan Amphicoach ini yang bernilai jutaan ringgit bagi kerja-kerja menyelamat. Kita hanya perlu kepada bot-bot kecil yang lebih mudah untuk masuk ke kawasan-kawasan sempit bagi tujuan menyelamat. Kenyataan ini membuatkan kita tertanya-tanya, adakah MB juga pakar dalam bidang ‘Emergency Response’ kerana sepatutnya kenyataan berkaitan dengan kerja-kerja penyelamat ini datangnya dari pihak berkaitan seperti JPAM atau JBPM setelah kajian dilakukan. Ini adalah kali kedua dalam masa terdekat, MB cuba menjadi jurucakap pakar setelah baru-baru ini beliau dilihat seolah-olah bercakap bagi pihak saintis ketika menjawab persoalan tujuan lawatan beliau ke Antartika yang menggunakan duit rakyat.

4 - Juga yang perlu diambil kira ialah tentang penyelenggaraan samada dari kos dan juga alat ganti dimana kita sedia maklum, kenderaan ini hanya ada dua buah di Malaysia, jadi bayangkan dimana hendak dicari alat gantinya. Hal ini boleh memberi ruang berlakunya penyelewengan seperti yang pernah terjadi keatas kenderaan kerajaan yang mana kos penyelenggaraannya diluar jangkaan sehingga menjadi kes polis.

5 – Ketika kehidupan rakyat makin tersepit dengan kenaikan kos barangan dan juga pendapatan yang tidak seberapa sehinggakan ada penoreh yang bersabung nyawa diserang beruang di Merchang semata-mata ingin mencari sedikit wang bagi menyara keluarga, pembelian dengan harga jutaan ringgit ini adalah sesuatu yang memperlihatkan kurangnya sensitiviti kerajaan atas kesusahan hidup rakyat ketika ini. Sepatutnya penumpuan kepada masalah kehidupan rakyat perlu dititikberat dan diutamakan.

6 - Dengan rekod beberapa siri kegagalan projek di Kenyir ini seperti projek Taman Burung yang mana burung-burung berharga ribuan ringgit seekor, telah banyak ‘hilang’ ditelan pemangsa. Maka PAS percaya alasan pembelian Amphicoach berharga enam juta ringgit yang dikatakan bagi tujuan tarikan pelancongan dan kerja-kerja penyelamat ketika banjir ini tidak lebih hanyalah sebagai kosmetik sahaja bagi ‘menghalalkan’ duit rakyat diambil kerana terdapat laporan Amphicoach ini sebenarnya hanya berharga sekitar tiga juta ringgit dua buah. Ini menimbulkan tanda tanya besar, bagaimanakah kiraan pembelian ini menjadi enam juta? Adakah wang rakyat akan menjadi seperti burung di Taman Burung Tasik Kenyir yang ‘hilang’ ditelan pemangsa tanpa dapat dikesan?

7 – Oleh itu PAS yakin dan percaya wang rakyat dapat diselamatkan jika sekiranya kerajaan negeri membatalkan pembelian ini yang pada pendapat PAS ianya tidak ada bezanya dengan kisah pembaziran-pembaziran sebelum ini seperti stadium runtuh, Lawatan ke Antartika, Projek Ubi Gadong, Projek Kambing Kaprima, Fertigasi Mega, kelewatan projek LPT  dan banyak lagi projek-projek yang kita boleh senaraikan sebagai pembaziran wang rakyat yang tidak sedikit malah mencapai bilion ringgit yang mana akhirnya pembuat onar terselamat tetapi duit rakyat tetap juga hangus.


YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
2 Jamadil Akhir bersamaan 2 April 2014

ARKIB