Saturday, November 30, 2013

Petikan : Malaysiakini
Polis berjaya merungkai kes pembunuhan ketua penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Ahmad Raflie Ab Malik, dengan penangkapan 13 pengikut kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun dan merampas pistol yang dipercayai ada kaitan dengan kes itu.
  
Tangkapan itu termasuk dua wanita.
  
Perkara itu diumum oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya @KBAB51 malam tadi.
  
"Syabas kepada Team Cantas BAman (Bukit Aman), berjaya rungkai kes bunuh Penguatkuasa JAIP. Tangkap 13 orang dan pistol dirampas. Angkara Kump (Kumpulan) Tuhan Harun," katanya.
  
Ini disusuli dengan kenyataan kedua beliau :"Kejayaan membanggakan oleh STAFOC (Pasukan Petugas Khas mengenai Jenayah Terancang) PDRM. Tahniah sekali lagi. Di antara 13 tangkapan, 2 wanita ahli kumpulan Tuhan Harun".
  
Khalid bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk maklumat lanjut mengenai penahanan anggota kumpulan Tuhan Harun itu.
  
Pada 20 November lepas, ketua kumpulan ajaran sesat itu Harun Mat Saat, 47, berjaya diberkas bersama seorang wanita dalam serbuan di sebuah rumah di Tangkak, Muar, Johor.
    
Lelaki itu dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan Ketua Penguatkuasa Jaip Mohd Raffli Abdul Malik, 49, yang ditembak mati oleh seorang daripada tiga suspek yang datang ke rumahnya di Kuantan, Pahang pada 10 November lalu.
  
STAFOC merupakan unit elit polis yang bersifat 'multi tasking' dalam mengurus dan menangani kes-kes jenayah berat, jenayah bersindiket, gangsterism, perjudian, pelacuran dan pemerdagangan manusia, yang dilancarkan pada 21 November lalu dan akan berkuat kuasa sepenuhnya bermula 1 Januari ini.
  
- Bernama

Thursday, November 28, 2013

 
Petikan : Malaysiakini
 
Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob di Putrajaya hari ini merupakan urusan kerajaan negeri dan Pusat dan bukannya Umno-PAS.

Exco penerangan Kelantan Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, sebagaimana dijelaskan oleh menteri besar, ia adalah pertemuan muhibah antara ketua kerajaan negeri dengan ketua kerajaan di peringkat pusat.

NONE"Ia bukan antara Umno dan PAS," kata Mohamed Fadzli (kanan) yang turut serta dalam lawatan itu.

Dalam kenyataannya hari ini, Mohamed Fadzli juga berkata, pertemuan itu antaranya membincangkan "agenda rakyat", antaranya berhubung masalah perumah, lebuh raya, kemudahan asas dan pusat pengajian tinggi.

Perbincangan utama, menurutnya lagi, melibatkan perlaksanaan undang-undang Islam di Kelantan.

"Ia adalah pertemuan yang baik untuk faedah rakyat Kelantan," katanya yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan.

"Fokusnya adalah untuk mencari kaedah bagaimana rakyat Kelantan juga dapat menikmati hak mereka walaupun diperintah oleh kerajaan yang berbeza dengan persekutuan kerana ia diperuntuk dan dibenarkan oleh oleh perlembagaan."

Sambil menyifatkan pertemuan itu mendapat respons baik daripada perdana menteri, Mohamed Fadzli juga menjelaskan, ia hasil cetusan idea Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Muktamar PAS baru-baru ini.
CARTOONKINI
 
Petikan :Malaysiakini
 
 
Malaysia mungkin menaikkan tarif bekalan elektrik antara enam dan tujuh sen bagi satu kilowatt tahun depan, kata Menteri Tenaga. Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili.
  
Bagaimanapun, Ongkili berkata kerajaan akan memastikan kenaikan tarif tidak menjejaskan kumpulan berpendapatan rendah.
  
"Kerajaan masih mengkaji kadarnya. Ia mungkin antara 10 peratus dan 20 peratus," katanya dan menambah angka di bawah 20 peratus adalah munasabah.
  
"Kadarnya adalah munasabah. Ia merupakan semakan minimum bagi Tenaga Nasional Bhd yang memastikan ia mencerminkan kos modal, pengurusan dan gaji," katanya kepada pemberita semalam.
  
Ongkili membayangkan kerajaan akan mengekalkan struktur semasa dengan pengguna yang menggunakan 300 kWh sebulan atau kurang, tidak dikenakan tarif baharu itu.
  
Oleh itu, tiada kenaikan tarif dijangkakan untuk 75 peratus pengguna isi rumah (4.4 juta pengguna), pengguna 'lifeline' (3.3 juta pengguna) dan pengguna  201-300 kWh (1.1 juta pengguna).
  
Ongkili berkata kadar itu juga bergantung kepada sejauh mana kerajaan mahu mengurangkan subsidi dan menyalurkannya kepada pembangunan sosioekonomi.
  
Beliau berkata kerajaan sentiasa memberi isyarat bahawa subsidi akan dikurangkan dan ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.
  
Ongkili berkata kerajaan membelanjakan kira-kira RM130 juta untuk subsidi setiap tahun untuk tarif manakala selebihnya ditanggung oleh Petronas kira-kira RM8 bilion hingga RM10 bilion setahun untuk sektor tenaga.
  
Berbanding tarif semasa negara anggota Asean, Ongkili berkata Malaysia lebih rendah berbanding Thailand dan Filipina, namun tinggi berbanding Indonesia memandangkan republik itu merupakan negara yang paling banyak memberi subsidi kepada sektor tenaga.
  
"Kami (menteri kabinet) akan bermesyuarat minggu ini. Kami akan mengkajinya," katanya.
  
Kali terakhir tarif elektrik dinafikan pada Jun 2011 apabila harga gas subsidi dinaikkan kepada RM13.70 (mmbtu) daripada RM10.70 mmbtu sebelumnya.

- Bernama
Petikan : Buletin Online
 
KUALA TERENGGANU – Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut optimis terhadap muzakarah antara Pas dan Umno dan berharap ia benar-benar direalisasikan dalam memastikan pemerintahan Islam dilaksanakan sepenuhnya di negara ini.

Menurutnya, Pas Terengganu turut mengalu-alukan muzakarah tersebut sebagaimana dinyatakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini dalam ucapan penggulungan sempena Muktamar Agung Pas Ke-59 barubaru ini.

“Saya daripada dahulu lagi memang berharap sungguh perkara ini (muzakarah antara Pas dan Umno) jadi kenyataan,” katanya.

Mohd Abdul Wahid yang juga Adun Wakaf Mempelam mencadangkan muzakarah tersebut dilakukan secara langsung bagi memberi peluang kepada rakyat di negara ini mengetahui inti pati perbincangan yang berlangsung.

Dalam laporan Sinar Harian 25 November, Abdul Hadi menyatakan kesediaannya untuk bermuzakarah dengan Umno dalam melaksanakan pemerintahan Islam.

Katanya, muzakarah itu akan disertai ulama Pas yang juga berperanan penting dalam melaksanakan ajaran Islam.

Sementara itu, Mohd Abdul Wahid turut menafikan bahawa penolakan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap cadangan muzakarah antara Pas dan Umno sebelum ini menyebabkan perkara itu gagal dilaksanakan.

“Dahulu pun tidak jadi bukan kerana Mursyidul Am tidak setuju, kadang-kadang orang berani tetapi apabila waktunya sudah dekat, tak jadi. Kita atas dasar untuk kebaikan bersama boleh bertemu dan berbincang,” jelasnya.

Katanya, Pas sebenarnya terbuka mengadakan muzakarah dengan semua pihak jika tujuan untuk kepentingan bersama.

Ditanya sama ada muzakarah perlu kepada persetujuan rakan parti iaitu PKR dan DAP, beliau melihat tiada keperluan sedemikian kerana masing-masing bebas berbincang demi kebaikan rakyat.

“Tidak timbul (persetujuan dari PKR dan DAP). Kalau hendak muzakarah antara BN dan PR pun boleh atau antara parti dan parti. Kita bebas (sebagai sebuah negara) demokrasi,” katanya.

Tuesday, November 19, 2013

Petikan : Sinar Harian
  • Calon Pemuda Pas: Cara berbeza, visi sama
  • Suhaizan(kiri), Kamaruzaman(tengah) dan Zulhazmi(kanan)
 
MUKADIMAH

Pertandingan tiga penjuru merebut jawatan Ketua Pemuda menyaksikan kehadiran wajah baru dan lama. Berbeza prinsip dan visi dalam perjuangan, ketiga-tiganya begitu optimis dalam usaha membangkitkan semangat baru orang muda. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, SUHAIZAN KAIAT, KAMARUZAMAN MOHAMAD dan ZULHAZMI SHARIFF, masing-masing mempunyai agenda tersendiri bagi menambat hati perwakilan menjelangnya Muktamar Pas 22 November depan. Wartawan Haslina Kamaludin, Norutul Ilham Mad Jari dan Adzhar Jamaluddin bersama jurufoto Mizan Mat Tamin berjaya mendapatkan reaksi ketiga-tiga calon Ketua Pemuda Pas ini bagi merungkai azam mereka.

SUHAIZAN
Dialog, medium penting sampaikan hujah

Bagaimana anda melihat Pemilihan Pas 2013, adakah semakin sengit atau sama sahaja dengan yang sebelum ini?

Pada saya, pertandingan kali ini tidak sengit kerana dua calon lagi Kamaruzaman (Mohamad) dan Zulhazmi (Shariff) adalah sahabat saya, walaupun kita bertanding tapi masih berhubung seperti biasa.

Bezanya tahun ini adalah Pas Pusat memberi garis panduan untuk berkempen dan yang penting kempen itu tidak memburukkan pihak lawan. Jadi dengan itu wujudlah usaha di peringkat kawasan, negeri untuk mengadakan dialog.

Adakah sesi dialog secara terbuka ini penting?

Pada saya ia baik. Berdasarkan pengalaman saya bersama Pas sewaktu di Johor, mereka memilih pemimpin dan tidak ada garis panduan, seperti tunjuk-tunjuk sahaja. Macam kita beli kuih. Saya pernah terfikir mengapa jadi begitu dan mudah sekali pilih pemimpin, seolah-olah rakyat yang memilih pemimpin itu tidak tahu apa yang mereka mahukan. Pada saya, apabila adanya usaha dialog, wacana atau perdebatan, pemimpin itu akan tahu yang dikehendaki anak muda.

Bilakah anda memulakan kempen?

Saya tidak suka panggil berkempen. Saya lebih selesa menyebut sebagai perbincangan dan untuk bertukar-tukar pandangan, makanya komitmen dengan semua pihak ini perlu. Saya sudah mulakan awal lagi. Ada banyak forum sudah dan akan saya sertai. Saya akan menjelajah ke setiap negeri untuk melihat perkembangan di semua kawasan dalam masa terhad begini, memang tidak akan terlaksana. Jadi, saya gunakan medium terbaik iaitu penggunaan media baru yang saya lihat sangat efektif.

Adakah pandangan anda mengenai media baru ini, khususnya dalam waktu berkempen ini?

Anak-anak muda sudah terbiasa dengan media baru seperti blog, whatssapp, email, Youtube dan sebagainya. Inilah zamannya. Jadi kita mesti manfaatkannya dengan betul. Kalau kita tengok dalam media sosial, baru kita akan tahu apa yang anak-anak muda mahukan. Di situ kita akan dapat manfaatkannya, rugi kalau tidak digunakan.

Apakah pandangan anda melihat persaingan kedua-dua calon?

Persaingan kali ini seimbang, kedua-dua pihak sama sahaja. Zulhazmi selalu menyebut, kehadiran beliau kerana mahu meraikan demokrasi dalam Pas. Beliau masuk kerana melihat tidak ada persaingan dalam Pemuda Pas. Jadi dia rasa bertanggungjawab untuk meraikan demokrasi dalam jawatan Pemuda Pas. Saya mula aktif dengan Pas bersama-sama Kamaruzaman. Beliau Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan dan saya Pemuda Pas Johor. Bukan persaingan kerana kita sama-sama kawan. Dalam Pas, kami berlumba-lumba untuk memberi khidmat kepada parti, bukannya berlumba-lumba untuk jatuhkan orang.

Apa keyakinan anda untuk dipilih sebagai Ketua Pemuda dan apakah visi anda?

Sebelum saya terima pencalonan ini, saya mengkaji keperluan anak muda masa kini. Saya lihat usaha yang dibuat Pemuda Pas masa terdahulu banyak kebaikan yang perlu kita teruskan. Selain meneruskan, kita juga perlu membuat beberapa penambahbaikan khususnya dibuat ustaz Nasruddin Hassan iaitu asas yang baik dalam tarbiah, ini konsep yang baik. Saya juga akan buat beberapa penambahbaikan untuk melihat dan menghasilkan satu kepercayaan rakyat kepada Pas yang merupakan gerakan Islam yang unggul di Malaysia ini.

Antaranya mendepani isu rakyat secara berkesan, Pemuda Pas ini harus dilihat secara inklusif dan bukannya eksklusif, memerlukan sayap Pemuda yang semak dan imbang dengan parti, mewujudkan dan memberi ruang kepada golongan profesional untuk mengomposisikan Pemuda Pas dan meneruskan legasi tarbiah yang dilihat sebagai usaha untuk pemantapan untuk ahli-ahli Pas supaya dia berjuang lebih kuat sikit.

KAMARUZAMAN
Lebih gemar tarbiyah daripada berkempen

Bagaimana strategi saat akhir menawan hati Perwakilan, adakah akan ada pecutan saat akhir?

Saya tidak ada apa-apa strategi untuk itu. Saya tampil hari ini di atas dasar menghormati pencalonan daripada kawasan. Saya tidak mahu dianggap terlalu bersaing dan seakan-akan berebut jawatan. Pada saya, jawatan itu satu amanah. Tidak diberikan jawatan juga, saya ada amanah yang harus diteruskan iaitu meneruskan perjuangan Pas. Bagi saya, tidak wujud istilah pecutan saat akhir atau apa sahaja kerana saya tidak berusaha ke arah itu.

Pencalonan anda dikatakan layak berdasarkan latar belakang anda dan penglibatan anda dalam Pas, respons anda?

Saya menghormati kenyataan itu. Tidak dinafikan, saya bermula dengan Pas sekitar tahun 2000 bersama-sama Suhaizan. Saya pernah menjadi Setiausaha Pemuda Pas Pusat. Saya juga diamanahkan menjadi komander keselamatan dalam demonstrasi Bersih 1.0,2.0 dan 3.0 Selain itu, saya turut menjadi timbalan pengarah untuk demonstrasi Anti ISA. Saya rasakan pengalaman inilah yang dilihat untuk saya bertanding dalam pemilihan kali ini. Walaupun kalah, saya tetap akan terus berjuang dalam Pas atas dasar perjuangan Islam. Ini adalah amanah besar untuk saya.

Anda dilihat tidak menonjol berbanding dua lagi calon. Adakah ini strategi anda?

Sudah saya katakan, tidak wujud sebarang strategi untuk pertandingan ini. Saya tidak ke depan kerana itu bukan cara saya. Saya menghormati rakan-rakan saya, cuma saya lebih gemar menggunakan pendekatan tarbiyah, kerana itu diajar kepada saya. Sememangnya, tidak salah untuk berkempen, tetapi itu bukan saya. Saya gembira melihat semua calon ke depan dan membentangkan hujah masing-masing kerana kami di dalam Pas bertunjangkan Islam dan saya menyokong mereka semua.

Apabila tidak kempen, anda dilihat seolah-olah tidak bersungguh-sungguh?

Bukan tidak bersungguh-sungguh. Saya menghormati pencalonan saya sebagai ketua pemuda yang saya lihat adalah satu lagi cara untuk mengimarahkan ahli-ahli dalam Pas. Kami bersaing secara sihat. Secara jujurnya, memang saya tidak ada muncul dalam mana-mana program.

Bukan meminggirkan diri tetapi saya lebih suka perwakilan mengenali dan memahami cara kerja saya. Saya memang orang di belakang tabir yang sangat aktif. Pada ketika ini, saya dilantik sebagai Yang dipertua Pas bagi kawasan baru di Putrajaya. Kerana itu, saya agak sibuk dengan kerja-kerja kawasan baru ini. Pelbagai kerja amal yang sedang kami usahakan.

Dikatakan anda menolak untuk berada di atas satu pentas dengan calon-calon yang lain untuk berdebat?

Saya akui, saya terpaksa menolak dengan baik usaha murni ini. Tetapi, saya tidak tergamak untuk melakukannya.

Saya bersedia untuk berdebat dengan sesiapa sahaja asalkan bukan dengan ahli Pas sendiri. Jemputlah saya untuk berdebat dengan Umno, saya sedia, tetapi bukan Pas. Saya diajar begitu. Jadi demi menghormati mereka, saya tidak boleh.

Apakah visi anda dan bagaimana melihat pertandingan tiga penjuru seperti ini?

Ini pertandingan sihat. Saya melihat semua ahli Pas memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada semua calon.

Masing-masing dengan visi dan matlamat sendiri untuk membangunkan Pas.

Saya sudah lama mengenali Suhaizan. Kami sama-sama menyertai Pas dahulu. Sahabat lama saya yang sangat agresif dalam pelbagai isu.
Seorang lagi sahabat saya, Zulhazmi, beliau masih baru tetapi saya melihat misi beliau besar untuk memajukan Pas. Masing-masing kuat dan siapa pun terpilih, saya pasti Pemuda akan terus memberikan yang terbaik demi agama, parti dan tanah air. Saya
juga ada visi untuk Pemuda.

Saya sudah ada pengalaman dengan akar umbi dan tahu apakah yang perlu dilakukan untuk Pemuda. Saya mahu melihat pemerkasaan organisasi dalam pas. Saya mahu melihat sama ada dewan atau cawangan boleh menjadi satu organisasi kuat.


ZULHAZMI
Hasrat lahir pembaharuan dinamik

Bagaimana anda melihat kempen kotor (gambar anjing) yang dimainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab semasa kempen sebelum ini?

Saya sendiri tidak rasa terkesan langsung dengan taktik yang dimainkan mereka. Cuma saya agak tergores apabila ada pimpinan daripada kelompok pemuda Pas sendiri yang mengatakan meletakkan gambar anjing itu dibuat oleh
saya sendiri untuk mendapat simpati.

Bagi saya, kesan negatif tersebut akan dirasai oleh parti Pas sendiri. Hal ini sedikit sebanyak akan membuatkan masyarakat memandang serong kepada Pas. Selain itu, saya yakin perwakilan untuk pemilihan kali ini tidak sesekali akan termakan dan terpengaruh dengan taktik kotor seperti meletakkan gambar anjing yang dibuat sebelum ini.

Boleh anda jelaskan secara menyeluruh berkenaan visi dan misi yang ingin dibawa untuk jawatan Ketua Pemuda?

Secara keseluruhan, visi dan misi saya adalah untuk menggerakkan Pemuda selaku satu unit yang memimpin dan bukannya selaku pengikut sematamata.

Sebagai salah satu sayap yang menggerakkan parti Pas, Pemuda Pas sendiri perlu mengemukakan isu yang berlainan dengan Pas pusat. Maksudnya, Pemuda Pas perlu menghidupkan identiti dan personalitinya sendiri tanpa perlu dibayangi oleh Pas pusat.

Oleh yang demikian, masyarakat boleh membezakan antara Pas pusat dan Pemuda.

Bagaimana anda melihat persaingan pada kali ini?

Persaingan di antara calon bersifat terbuka dan berjalan suasana yang amat baik. Bagi saya, menang atau kalah itu bukan perkara pokok sebaliknya pengukuhan selain melahirkan pembaharuan yang dinamik bagi kepimpinan pemuda Pas itu yang menjadi keutamaan.

Apakah kelemahan paling ketara yang dilihat melalui kepimpinan Pemuda ini?

Kelemahan yang paling ketara adalah berkenaan dengan kurangnya perhatian terhadap permasalahan yang membelenggu rakyat dan golongan belia.

Saya melihat isu ini seolah-olah seperti dipandang sepi sedangkan kedua-duanya amat berkait rapat dan amat memerlukan perhatian serius daripada kepimpinan pemuda.

Imej dan personaliti anda dilihat amat berbeza dengan kepimpinan Pas yang lain, adakah perbezaan ini yang ingin anda ketengahkan?

Saya berpendapat imej dan personaliti itu tidak membawa sebarang makna yang besar. Selagi saya berpakaian kemas, menutup aurat dan tidak melanggar hukum yang ditetapkan ALLAH itu sudah memadai.

Islam menganjurkan sesuatu yang senang, mudah difahami dan bersifat menyeluruh. Bagi saya, mungkin dengan personaliti sebegini mampu untuk menarik umum khususnya golongan belia dengan lebih mudah sekaligus mereka juga tidak akan berasa segan
apabila mendampingi diri ini.

Sekiranya terpilih untuk memegang jawatan selaku ketua Pemuda Pas, apakah harapan anda?

Saya akan memberikan sepenuh komitmen kepada kepimpinan Pas khususnya Pemuda. Dalam pada itu, saya juga akan meneruskan segala dasar yang ditetapkan oleh parti demi memastikan Pas bergerak dalam satu unit yang kuat dan mampu menarik sokongan belia di negara ini.

Saturday, November 9, 2013

Petikan : Buletin Online
 
KEMAMAN – Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, pemergian Allahyarham Ustaz Awang Jusoh merupakan satu kehilangan besar buat PAS negeri Terengganu dan PAS Kawasan Kemaman.
 
Wahid berkata tokoh yang ‘gigih seperti arwah sukar dicari ganti.
 
“Saya amat terharu dan sangat terasa kehilangan seorang sahabat, tok guru dan tokoh politik kerana arwah merupakan antara peneraju utama PAS Kawasan Kemaman.
 
mohd abdul wahidSelain merupakan ‘tok guru’ yang aktif mengajar kuliah-kuliah agama di merata tempat termasuk (sehingga ke negeri) di Pahang," katanya.
 
Beliau yang juga ADUN Wakaf Mempelam berkata, kehilangan Allahyarham tiada galang gantinya.
 
“Sesetengah orang kata patah tumbuh hilang berganti tapi bagi saya insan seperti Allyarham tiada galang gantinya.
 
“Seluruh kepimpinan PAS Terengganu mendoakan agar roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang mukmin,” kata beliau ketika ditemui.
 
Jenazah Allahayarham yang juga mantan Exco Kerajaan Negeri merangkap Adun Chukai penggal 1999 hingga 2004, Ustaz Awang Dagang atau nama sebenarnya Awang Jusoh, di semadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jabor Kubur, Chukai, kira kira jam 2.15 petang Sabtu, 9 November.
 
Allahyarham, 79, yang meninggal dunia kira-kira jam 11.30 Jumaat malam , selepas mengalami sesak nafas.
 
mahyudinSolat jenazah diimamkan oleh Yang DiPertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad yang merupakan menantu kepada Allahyarham.
 
Allahyarham yang juga bekas Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan Kemaman menghembuskan nafas akhir ketika berada di rumah isteri keduanya di Kampung Mak Chili, dekat sini, sejurus pengsan setelah secara tiba-tiba sukar bernafas.
 
Anak arwah, Mahyudin, 55, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada ibu tirinya yang memaklumkan bapanya sukar bernafas kira-kira jam 10.30 malam lalu segera berkejar ke Kampung Mak Chili dengan menunggang motosikal.
 
“Namun ketika berada di simpang jalan Kampung Mak Chili, ummi (ibu tiri) sekali lagi menghubungi saya dan memberitahu ayah sudah tidak sedarkan diri.
 
Apabila tiba di rumah saya segera memanggil jiran dan menghubungi ambulans dan doktor sebelum doktor mengesahkan arwah sudah tiada,” katanya sebak.
 
Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad membaca doa di pusara AllahyarhamKata Mahyudin, kali terakhir dia bercakap dengan arwah ketika bapanya itu datang ke rumahnya di Kampung Injin Gergaji yang terletak bersebelahan Balai Istiqamah (tempat bapanya mengajar agama) pada jam 6 petang kelmarin iaitu beberapa jam sebelum arwah mengalami kesukaran bernafas.
 
“Waktu itu arwah makan petang bersama saya dan arwah sempat berjalan mengelilingi rumah saya dan pulang ke rumah di Kampung Mak Chili bersama ummi kira-kira jam 6.45 petang.
 
“Tiada perubahan ketara yang saya lihat pada diri arwah apatah lagi arwah kelihatan sihat dan masih kuat berjalan.
 
Bulan lepas arwah masuk wad di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu selama enam hari kerana sakit batu karang dan apendiks tapi lepas buat rawatan dia kelihatan makin pulih dan sihat,” katanya yang merupakan anak paling rapat dengan arwah.
 
Datuk Mustaffa Ali berkopiah, paling kiri ketika menziarahi jenazah Allahyarham Ustaz Awang DagangPun begitu, Mahyudin berkata, ketika dia sedang bertugas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau, Kedah baru-baru ini arwah ada menelefon dan berpesan kepadanya agar cepat pulang ke Chukai.

“Arwah beritahu dia uzur jadi minta saya cepat balik. Itu sahaja pesan terakhir daripada arwah,” katanya selepas menyiram air di pusara bapanya.
 
Berita pemergian arwah mengejutkan ramai pihak dengan lebih 500 penduduk setempat, bekas murid dan pimpinan PAS Pusat dan PAS Terengganu.
 
Turut menziarahi jenazah Allahyarham adalah Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu yang juga Bekas Speaker Dun, Datuk Husin Awang, Bekas YDP PAS Kemaman merangkap bekas Adun Air Putih, Ismail Harun dan YDP PAS Kemaman Ustaz Alias Abdul Hamid.

Wednesday, November 6, 2013

Perutusan Maal Hijrah 1435


Bismillahir rahmanir rahiim
Salam Maal Hijrah buat semua. Semoga dengan kedatangan tahun baru Islam ini akan memberikan kita lebih kekuatan bagi melakukan penghijrahan dari perkara yang negatif kepada yang positif. Menyambut Maal Hijrah bukanlah ibadat yang khusus sepertimana kita menyambut Eidul Adha. Juga dikatakan para sejarawan bahawa bukanlah pada bulan Muharram penghijrahan rasulullah s.a.w berlaku. Ianya adalah penetapan bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam kalendar Islam dicetuskan oleh saidina Umar al-Khattab sebagai satu idea bagi memantapkan lagi sistem kalendar dalam Islam. Cuma permulaan tahun itu dikira pada tahun hijrahnya rasulullah dari Mekah ke Madinah. Maka semangat hijrah itu yang ingin kita terapkan dalam niat berhijrah sebagaimana rasulullah iaitu kerana Allah.
Rasulullah telah bersabda :

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِي اللَّه عَنْهمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّم:َ لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا

(maksudnya) : Daripada Ibn ‘Abbas r.ahuma, katanya: sabda RasululLah s.a.w: “Tiada hijrah selepas pembukaan kota Mekah, sebaliknya jihad dan niat. Apabila kamu diminta keluar berjihad maka keluarlah”. (Riwayat al-Bukhari 1986M: 3/1025)
Hadis ini bukanlah bermakna tiada lagi hijrah bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain setelah pembukaan Mekah. Ianya masih berjalan sehingga sekarang, contohnya sekiranya kita tidak mampu mempertahankan aqidah kita di sesuatu tempat, maka berhijrahlah kita ke tempat yang lain agar terpelihara aqidah kita. Tapi apa yang ingin saya sentuh di sini ialah dalam konteks semasa, iaitu penghijrahan pemikiran. Perlunya kita berhijrah dari pemikiran sekular kepada pemikiran Islam, dari pemikiran ekonomi kapitalis kepada ekonomi Islam, dari pemikiran menambahbaik hukuman rekaan manusia kepada hukuman pencegahan ciptaan Allah, dari kepompong pemikiran kejahilan kepada keterbukaan ilmu pengetahuan supaya kita dapat melihat dunia ini dari kacamata Islam dan tidak ditipu oleh kepelbagaian kosmetik dalam mentafsirkan Islam.
Sebagai pemahaman kepada perlunya penghijrahan pemikiran kita, lihat sahajalah bagaimana tertekannya rakyat dalam menghadapi ekonomi masakini. Dengan upah yang sedikit, kenaikan harga barang yang berterusan (setelah ditipu sebelum PRU dengan pelbagai janji untuk tidak menaikkan harga barang), pemerintah sangat selesa bermain dengan hal-hal materialistik bagi memperbodohkan rakyat. Bayangkan jumlah hutang isi rumah penduduk Malaysia adalah yang tertinggi dikalangan negara Asia. Dengan statistik kemuflisan yang sedang rancak menaiki tangga graf yang terdiri dari kalangan orang muda, rakyat Malaysia diajar agar berhutang seawal usia belajar lagi. PTPTN sebagai contoh, pelajar diajar berhutang dan dikejar sebagai penjenayah layaknya jika gagal membayar hutang. Benar hutang wajib dibayar walaupun tidak dituntut, orang yang mati dalam hutang ruhnya akan tergantung hatta syuhada sekalipun, tetapi kenapa hanya dipandang kepada anak-anak bilis ini? Apakah mereka yang bukan sahaja berhutang, malah membaham jutaan ringgit duit rakyat mendapat pengecualian pendakwaan?
Terdesak dengan hambatan kewangan bagi menyambung hidup, adakalanya rakyat yang hilang pertimbangan dan mencuri. Ya, sewajarnya mereka dihukum, tetapi dengan harga barang curian belasan ringgit atau kurang, dipenjara bertahun-tahun, tetapi penjenayah kolar putih dengan suapan jutaan ringgit, penyelewengan dan penipuan dengan nilai keseluruhan penyelewengan mereka semua selama bertahun-tahun yang mencecah billion ringgit itu hanya diberi hukuman beberapa bulan penjara sahaja, malah ada diantara mereka tidak dihadapkan ke mahkamah, Cuma hukuman dalaman dalam parti, sebaik habis hukuman, dilantik pula memegang jawatan dalam organisasi. Apakah kebodohan ini terselindung dari mata rakyat? Atau rakyat terpaksa membutakan mata mereka kerana sibuk mengejar kekayaan peribadi?
Ditambah pula dengan pengumuman kerajaan bagi memperkenalkan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) sebanyak enam peratus, walaupun pada April tahun hadapan, tetapi rakyat sudah dapat menjangkakan kesannya sekarang. Lebih malang mimbar-mimbar yang mulia telah dicemari dengan khutbah mengampu, menambahkan lagi kebodohan rakyat. Inilah yang dikatakan pada permulaan tadi, bila rakyat dihimpit dengan pemikiran materialistik, maka mereka melupakan segalanya, hidup tertekan memikirkan duit yang kurang, persaingan hidup yang tinggi , menyebabkan sifat pentingkan diri menjadi kemestian. Inilah sasaran utama kerajaan yang korup, melumpuhkan pemikiran rakyat dengan kebendaan agar senang dijajah sebagaimana penjajah lakukan dahulu. Kita semakin jauh dari rahmat Allah, dan bermakna kita sedang menghampiri balaNya.
Dalam hal jenayah pula, keselamatan rakyat kian terancam sekarang. Mengikut perkiraan lojik ekonomi, sekiranya tinggi kadar pengangguran dan kenaikan kos kehidupan di sesebuah tempat, maka kadar jenayah juga akan naik. Oleh itu, tidak perlu kita kepada teori yang hebat-hebat dari pakar-pakar ekonomi tetapi dengan hanya melihat kepada kerakusan penjenayah bertindak sekarang ini, maka sangat mudah difahami bahawa ekonomi Malaysia negara yang kita cintai ini berada dalam kemerosotan yang teruk. Pasukan keselamatan pula masih belum pulih dari tercalar maruah dengan isu kehilangan barangan penting PDRM seperti pistol, kenderaan dan lain-lain lagi seperti yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara baru-baru ini, turut seperti kehilangan taring dengan kes-kes jenayah yang semakin menjadi-jadi ini. Menambahkan lagi keresahan rakyat.
Rakyat perlu berfikir bagaimana dengan mudahnya penjenayah melepasi kawalan sempadan, kemudiannya membeli kad pengenalan palsu seperti membeli barangan biasa di pasaran kelihatannya dan dapat pula memohon pekerjaan sebagai pengawal keselamatan dan juga dalam sektor-sektor lain. Laporan mendedahkan segelintir syarikat keselamatan membekalkan pengawal keselamatan mereka dengan senjata walaupun belum mendapat permit dari pihak berkuasa, dianggarkan seramai 150 ribu hingga 400 ribu pengawal keselamatan diambil secara haram dan sebahagian syarikat keselamatan yang besar menyerahkan lesen kontrak kepada syarikat yang lebih kecil bagi menjimatkan kos dan syarikat itu sebenarnya merekrut orang yang tidak sesuai. Adakah anda merasakan anda selamat? Adakah anda yakin penjenayah itu tidak akan melakukan sesuatu keatas anda dan keluarga jika mereka mempunyai peluang? Fikirkanlah wahai rakyat sekelian.
Oleh itu, seharusnya pemikiran rakyat boleh diubah dari menjadi pak turut kepada kerajaan yang korup kepada pemikiran yang kritis memikirkan bahawa kehidupan ini sebenarnya diatur oleh Allah dan mesti mengikut peraturanNya. Kita boleh mentaati pemimpin tetapi hendaklah ada batasannya, bukan taat yang semberono. Ekonomi yang ditunjukkan Islam sangat praktikal, tidak menindas tetapi membantu. Boleh menjadi sekaya-kaya manusia, tetapi zakat jangan dilupa, sedekah sentiasa agar terjalin keharmonian sesama masyarakat. Hudud pula bukanlah hukuman kolot yang sesuai pada orang arab dizaman dahulu sahaja, tetapi ianya universal dan laku sepanjang zaman. Ianya bersifat mendidik, dikenakan keatas penjenayah sahaja, maka kenapa yang mengaku bukan penjenayah juga tiba-tiba menolak melebihi penjenayah? Apa yang penting dalam hukuman Islam ini ialah semua perkara akan berkait dengan dunia dan akhirat. Terlepas di dunia, pasti dan yakinlah Allah akan mengadilinya pula di akhirat. Terhukum dengan hudud Allah dan bertaubat, maka insyaAllah Allah akan melepaskan mereka di akhirat dimana seksanya berganda-ganda sakitnya berbanding di dunia. Yakinlah dengan Allah, buatlah anjakan pemikiran dan berhijrahlah dari pemikiran yang mengagung-agungkan dunia kepada ketundukan kepada Allah agar kita terselamat dari kemurkaan Allah di akhirat. Wallahua’lam

Ustaz Mohd Nor Hamzah

Friday, November 1, 2013


 

 
Marang : Dalam kehangatan kempen Piilihanraya Kecil (PRK) Sungai Limau yang tinggal hanya beberapa hari lagi, Kelab Pacuan Empat Roda, PAS Kawasan Marang (PASAK) turut tidak ketinggalan untuk memeriahkannya.
Sejumlah 23 buah kenderaan pacuan empat roda menyertai konvoi ini yang turut disertai oleh Kelab Pacuan Empat Roda PAS Kawasan Hulu Terengganu(PAHAT) berlepas dari Rusila ke Sungai Limau, Yan, Kedah.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah melepaskan para peserta konvoi di perkarangan Masjid Rusila sebaik selesai beliau menyampaikan kuliah ilmu mingguannya.
Dalam ucapan perlepasannya, beliau mengingatkan peserta agar memastikan perjalanan yang selamat dan diiringi dengan niat yang betul maka dengan izin Allah, peserta akan mendapat pahala.
Menurut beliau lagi PRK Sungai Limau ini adalah medan bagi masyarakat mengingati budi dan jasa allahyarham Tan Sri Azizan yang telah memberikan sumbangan yang bermakna kepada rakyat dengan memenangkan calon PAS.
Pengerusi PASAK yang juga ketua konvoi Encik Azlan Wahab (kiri) ketika ditemui menjelaskan aktiviti ini adalah rutin bagi PASAK setiap kali ada pilihanraya dan program-program kelolaan PAS.
“Ini adalah antara aktiviti PASAK membantu PAS dalam mana-mana program bukan sahaja PRK.
PASAK ni bawah Lajnah Tarbiyyah kawasan, kita sentiasa bekerjasama dengan Terengganu Adventure Team (TAG) dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti membantu PAS,” katanya.
Malah katanya lagi bukan sahaja ketika pilihanraya tetapi juga pada masa-masa yang lain yang memerlukan sumbangan tenaga PASAK, mereka bersedia untuk membantu.
Ditanya apakah program khusus di Sungai Limau nanti, beliau menjelaskan program PASAK akan ditentukan oleh pengurusan PRK Sungai Limau setibanya mereka di sana nanti.
“PASAK akan bantu dari semua sudut, samada keselamatan, kebajikan, tugas-tugas khas, akan dirancang oleh orang sanalah (pengurusan PRK Sungai Limau).
Kita cuma membantu melancarkan perjalanan kempen PRK nanti,’ jelas beliau.
Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, diiringi oleh YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, yang juga Pengerusi Lajnah Tarbiyyah PAS Kawasan Marang peserta serta orang ramai kemudiannya bersama-sama membaca doa sebelum perlepasan.

ARKIB