Monday, April 29, 2013

Oleh : Mat Teropong

Nama-nama calon bagi pilihanraya umum ke 13, telahpun diishytiharkan pada 20hb April baru-baru ini. Sudah menjadi adat dalam kemeriahan bertanding akan pasti ada kekecewaan, kemurungan dan ketidakpuashatian keatas mereka-mereka yang namanya tercicir dari senarai calon. Ada diantara mereka mengambil jalan lain dengan mencalonkan diri sendiri sebagai calon bebas. Ada sesetengah pula akan cuba mensabotaj calon biarpun dari parti mereka sendiri. Pendirian mereka alang-alang tak dapat biar semua tak dapat.
Contoh berlaku keatas Datuk Kamilia Ibrahim yang merupakan Naib Ketua Wanita Umno Malaysia sebelum beliau meletakkan jawatan itu atas dasar tidak berpuashati dengan pencalonan Umno di Kuala Kangsar. Atas kepercayaan beliau bahawa bukan sahaja dia telah dikhianati tetapi juga seluruh harapan wanita Umno telah dirobek sebegitu rupa dengan terkeluarnya nama beliau sebagai calon.
Dengan ketuanya Datuk Shahrizat Jalil yang mengumumkan tidak bertanding kerana menghadapi masalah dengan perbicaraan hal berkaitan projek lembu, ditambah dengan ketua Puterinya juga tidak dicalonkan maka harapan wanita sepatutnya tergalas diatas bahu Kamilia, tentunya. Dan kerusi Dewan Undangan Negeri pastilah bukan tempatnya untuk dia bersuara bagi mewakili wanita keseluruhannya. Maka kerusi parlimen adalah tempat selayaknya bagi beliau.
Dengan nekad yang telah dibulatkan, atas dasar wanita dimalukan, maka keputusannya untuk bertanding sebagai calon bebas adalah satu keputusan sukar baginya yang telahpun bergelumang dalam Umno selama lebih dari 30 tahun (seperti katanya) tetapi amat tepat bagi memertabatkan maruah wanita yang dilihat telah dicalar teruk oleh Menteri Wanita – Najib  Razak. Berat mata memandang, berat lagi bahunya memikul maruah wanita. Syabas, Kamilia sekurang-kurangnya ada tindakan berani setelah diri dihina walaupun disingkirkan dari Umno. Dengan keberanian yang telah ditunjukkan oleh Kamilia mantan Naib Ketua Wanita Umno, sepatutnya ia menjadi contoh dan tauladan oleh pejuang-pejuang dalam Umno tak kira wanita atau pemuda.
Akan tetapi keberanian Kamilia itu kelihatannya tidak dijejaki oleh orang-orang muda dalam Umno di negeri Terengganu ini. Bayangkanlah tiada wakil bos-bos pemuda dalam senarai calon-calon PRU 13. Ketuanya Saiful Bahri Baharuddin (kiri) yang dikatakan bakal menjadi calon di Alur Limbat, nampaknya hanya berperanan sebagai tukang buat laporan polis sahaja (rujuk Sinar Harian Edisi Terengganu Rabu 24 April). Beliau kelihatannya telah disekat oleh penyandangnya iaitu Alias Abdullah. Walaupun Alias menghadapi masalah dengan bosnya Dato’ Ahmad Said, namun kerana kemungkinan kekalahan di Alur Limbat sekiranya Saiful bertanding, menyebabkan Ahmad terpaksa menerima Alias.
Gugurnya pencalonan Naib ketuanya Ustaz Khazan Che Mat (kanan) yang juga Ketua Pemuda Bahagian Setiu, adalah berita yang paling mengejutkan apabila beliau suatu ketka dahulu sering dipuji ramai orang. Masakan digugurkan? Hendak kata tua, eh....itukan pemuda, hendak kata menyeleweng, mana laporannya? Hendak kata apa lagi kalau bukan prestasi pemuda Umno secara keseluruhannya adalah tidak mencapai piawaian Ahmad Said bagi membantu beliau memerintah Terengganu sekiranya berkuasa kembali.
Apli Yusof nama yang terdengar akan menduduki kerusi Kuala Nerus sebagai calon, akhirnya tenggelam juga. Badrol Hisham Zaki pula, walaupun ada suara-suara yang cuba mengangkat beliau sebagai calon Parlimen Kuala Terengganu, namun dia kelihatannya masih terkial-kial dengan imejnya sebagai Ketua Pemuda Bahagian Kuala Terengganu. Suatu ketika ada terdengar ura-ura yang kuat bagi mengangkat Kamarudin Ali sebagai calon di DUN Kijal sekiranya Ahmad Said dinaikkan ke Parlimen atau tidak bertanding, tapi sama seperti nasib sahabat-sahabatnya yang lain, tercicir juga namanya. Nasib agak baik bagi Zaidi Muda di Bukit Payong dan Mohd Mahdi Musa apabila diberi kepercayaan untuk bertanding di DUN Kota Putera.
Kasihan melihat kepada sayap-sayap Umno ini kerana bos-bos mereka kesemuanya tidak tersenarai sebagai calon bagi kerusi-kerusi samada DUN atau Parlimen. Begitulah nilai perjuangan mereka didalam Umno. Amat teruk kepimpinan mereka sehinggakan tiada satupun kerusi yang boleh diperuntukkan kepada mereka? Kerusi manakah yang diperuntukkan kepada Wanita Umno Terengganu? Dimana Nordiana Shafie, ketua Puterinya? Bagi sayap pemuda Umno Terengganu, hal ini bukan baru, semenjak Datuk Sabri Alwi menyandang ketua lagi, Pemuda Umno Terengganu telah gagal meletakkan ketua mereka sebagai calon.
Bandingkan dengan calon-calon PAS yang mengemukakan ramai muka-muka baru dari kalangan orang muda. Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah (kiri) bertanding di Bukit Payong. Timbalannya Ustaz Riduan Hashim di Teluk Pasu. Manakala naibnya Ustaz Kamaruzzaman di Parlimen Hulu Terengganu. Bukan itu sahaja, bahkan exco pemuda juga diberikan tempat seperti Ustaz Sulaiman Sulong di Pengkalan Berangan, Ustaz Mohd Razki Alias di Ajil dan Ustaz Hishamudin Abdul Karim sebagai pencabar kepada Ramli Nuh di Tepoh.
Tidak ketinggalan juga wakil dari Pemuda PAS Pusat, yang mempertaruhkan Ketua Penerangannya Ustaz Ridhuan Mohd Nor sebagai calon Parlimen Besut berhadapan dengan mantan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh. Wakil dari Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Khairuddin Aman Razali At-Takiri juga baru berusia 40 tahun. Pengganti kepada ayahandanya, Hilmi Harun di DUN Manir masih muda belia usianya. Dan yang terakhir Ustaz Hazri Jusoh yang bakal berhadapan dengan Datuk Seri Ahmad Said juga dari kalangan pemuda. Manakala bagi mewakili Dewan Muslimat, Ustazah Nafisah Ismail telah diberi tanggungjawab sebagai calon.
Begitulah PAS, bersungguh-sungguh memberikan komitmen dalam strategi menawan hati anak-anak muda dan kalangan wanita serta berusaha memberikan kehidupan yang lebih baik kepada generasi muda. Siapa lagi yang lebih memahami kehendak orang muda kalau bukan dari kalangan orang muda juga? Sama juga kepada golongan hawa. Maka disini jelas Umno Terengganu telah gagal dalam memahami aspirasi anak-anak muda Terengganu dengan kegagalan mereka menampilkan wakil-wakil pemuda mereka di negeri Terengganu. Akan tetapi saya yakin dan percaya pasti akan ada “Kamilia” versi Pemuda Umno Terengganu yang akan bangun mempertahankan maruah dan menyatakan hak bagi golongan mereka. Akan tetapi jika tiada, Pemuda Umno Terengganu patut belajar dari Kamilia hal berkaitan “kejantanan” bagi menegakkan hak mereka.
Motto pemuda PAS ialah Orang Mude Geng Kite sekarang jelas telah diusahakan dengan mengenengahkan calon-calon dari kalangan orang muda. InsyaAllah kita akan kota apa yang kita kata. Orang muda harapan negara dimasa depan, merekalah yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara nanti. Sambil tidak mengenepikan orang-orang lama, golongan muda diketengahkan dengan penuh bergaya. PAS hormati yang tua dan kasihkan yang muda. PAS untuk semua. Undilah PAS.
Oh ya sebelum menutup laptop ini, dimana agaknya kedudukan ulamak-ulamak Umno Terengganu? Dimana penasihat-penasihat agama menteri besar? Apakah mereka senasib dengan pemuda-pemuda Umno Terengganu? Takkanlah dua tiga orang ulamak sahaja yang diangkat jadi calon? Oh.....perjuangan menegakkan Islam versi Umno rupanya tidak memerlukan ulamak. Aduhai nasib badan......

Thursday, April 25, 2013


Bismillahirrahmaanirrahiim
Pemilihan adalah suatu perkara yang tidak dapat tidak, kita sebagai manusia mesti lakukan dalam kehidupan kita sehari-hari. Bangun dari tidur, kita ada pilihan antara mahu meneruskan tidur atau bangun untuk solat. Bila bekerja, kita hadapi persimpangan antara mahu melakukan kerja dengan kesungguhan atau tidak dan samada mahukan rezeki yang halal ataupun haram.
Begitulah antara contoh pilihan-pilihan dalam kehidupan kita sehari-hari. Dengan kata lain, kita tidak dapat lari dari melakukan pemilihan dalam hidup. Dari pagi hingga malam, dari perkara yang sekecil-kecilnya sehinggalah kepada perkara yang besar, kita akan membuat apa yang kita anggap sebagai pilihan terbaik dalam hidup kita. Ada orang menganggap hukum pilihan itu satu perkara biasa dalam kehidupan. Bukan semua perkara yang dipilih mereka ada kena mengena dengan dosa dan pahala.
Anggapan mereka itu sebenarnya meleset sekali kerana tiada satupun perkara di atas dunia ini akan terlepas dari penghakiman Allah. Suruhlah mereka sebutkan satu perkara yang tiada kena mengena dengan dosa dan pahala, nescaya tiada mereka temui. Firman Allah :
"Barang siapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasannya)". (al-Zalzalah :7-8)
Akan tetapi dalam semua keputusan pemilihan kita itu, adakah kita pasti pilihan kita itu adalah pilihan yang diredhai Allah? Apakah yang seharusnya menjadi garis panduan kita dalam memilih? Tentunya sebagai seorang muslim panduan dari al-Quran dan sunnah yang akan menjadi kayu pengukur kepada setiap keputusan yang kita buat kerana kita inginkan pahala dari Allah.
“Dan kami bentangkan kepada mereka dua jalan (Jalan yang baik untuk dilalui dan jalan yang buruk untuk dijauhi)” (al - Balad : 10)
Salah satu perkara besar yang telah digariskan oleh Islam dalam membuat pemilihan ialah memilih pemimpin. Keutamaan memilih pemimpin ini telah dibuktikan oleh sahabat-sahabat rasulullah s.a.w iaitu ketika wafatnya baginda. Mereka telah bermesyuarat di Saqifah Bani Sai’dah bagi mengangkat pemimpin umat Islam yang baru, menggantikan rasulullah s.a.w. Sehinggakan urusan pengkebumian rasulullah s.a.w dilewatkan kerana mengutamakan pemilihan khalifah
Pentingnya memilih pemimpin dalam Islam adalah kerana pemimpinlah yang akan mencorak kehidupan masyarakatnya. Baik pemimpin, baiklah masyarakat. Sebaliknya kehancuranlah yang akan menimpa rakyat jika pimpinan itu tergolong dari mereka yang terkeluar akhlaknya dari akhlak Islam. Kenyataan ini munasabah kerana manusia sukar berbuat baik sekiranya dia jahat dan dia akan menghindari kejahatan jika dia seorang yang baik menurut agama.
Berkata ulamak “agama rakyat itu menurut agama pemerintah”. Jika didalami perkataan ini, maka kita dapat lihat betapa besarnya pengaruh pemimpin terhadap mereka yang dipimpin sehinggakan agama mereka juga boleh dipengaruhi oleh pemimpin. Contoh semenanjung arab, yang dahulunya adalah tanah penyembah berhala, tetapi kini berhala-berhala itu  lupus sama sekali apabila datangnya Islam. Di Sepanyol yang satu ketika dahulu hampir semua penduduknya beragama Islam, tetapi sekarang majoritinya kristian. Ini semua kerana pengaruh dari kepimpinan. Oleh itu sangat penting kita memilih pemerintah dengan betul.
Tampuk kepimpinan ini adalah satu amanah dalam Islam. Ianya tidak boleh diminta jika tidak diberi serta juga tidak boleh ditolak sekiranya diberikan. Ini adalah prinsip asas dalam Islam. Akan tetapi apabila bertembung dengan kezaliman, maka kita dibolehkan merebut kuasa itu sekiranya mampu,  demi untuk menghapuskan kezaliman sebagaimana yang dinyatakan oleh rasulullah :
“Apabila kamu melihat kemungkaran maka hendaklah kamu menghalangnya dengan tangan. Jika tidak mampu, maka dengan lisan. Jika tidak mampu, maka dengan hati. Dan demikian (benci dengan hati) adalah selemah-lemah iman”(HR Muslim)
Hadis ini menyuruh kita mencegah kemungkaran dari merebak dengan tingkatan kekuatan iman yang kita ada, sehinggakan dibolehkan mengambil kuasa dari pemerintah yang zalim. Bagi kita yang tinggal di negara yang mengamalkan sistem demokrasi, ianya membolehkan kita memilih pemimpin negara setiap lima tahun melalui pilihanraya. Maka jika kita yang membuang pemimpin yang tidak amanah atau zalim itu bukanlah kerana gilakan kuasa, tetapi mengambil kuasa itu untuk diberikan kepada yang lebih beramanah dan mengikut undang-undang kerajaan sediada.
Sesuai dengan hadis rasulullah s.a.w bersabda :
“ Jihad yang paling utama ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim” (HR Tirmizi dan Abu Daud)
Tidak semuanya dari kita dapat berkata benar di hadapan pemimpin zalim, akan tetapi kaedah yang terpakai di Malaysia untuk menolak pemimpin zalim ialah setiap rakyat yang layak, berhak menentukan kepimpinan negara melalui peti undi. Maka kita mesti menolak mereka, iaitu pemimpin yang telah terbukti zalim dalam pemerintahannya.
Dalam konteks pembangunan pula, negara akan hancur dengan penyelewangan-penyelewengan yang dilakukan oleh tangan-tangan yang tidak amanah dan zalim. Kerana hanya keuntungan yang difikirkan mereka. Mereka secara tidak lansung telah menghancurkan negara. Lihatlah kehancuran yang telah berlaku keatas negara-negara yang dipimpin oleh mereka yang korup. Keruntuhan berlaku sana-sini samada keruntuhan binaan mahupun keruntuhan akhlak. Benarlah firman Allah :
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia “(ar- Rum : 41)
Maka wajiblah kita berlaku adil kepada diri kita, keluarga kita, masyarakat kita dan akhir sekali kepada negara kita dengan menghalang kezaliman. Adil yang didefinasikan oleh Islam ialah “meletakkan sesuatu itu pada tempatnya”. Firman Allah :
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan bersikap ihsan” (an- Nahl : 90
Maka jika kita tidak meletakkan sesuatu itu pada tempatnya, bermakna kita telah berbuat zalim kerana adil itu lawannya zalim. Jika kita masih lagi memilih kepimpinan yang tidak amanah dan zalim, maka kita bukan sahaja menzalimi diri, keluarga, masyarakat malahan kepada negara kita. Apa jawapan yang akan berikan kepada Allah nanti dengan kezaliman kita itu? Fikirkanlah masa depan agama, bangsa dan negara kita.
Jauhkanlah diri kita dari kemurkaan Allah dengan memilih pemimpin yang amanah, adil dan berakhlak menurut Islam. Supaya kita, keluarga, masyarkat dan juga negara selamat dari kemusnahan kerana sikap amanah kita dalam memilih pemimpin yang betul. Dan semoga kita tidak digolongkan dalam golongan orang yang membantu kezaliman. Firman Allah :
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” (Hud : 113)
Semoga Allah jauhkan. Wallahua’lam
 
Ustaz Mohd Nor Hamzah
Calon N18 DUN Bukit Payong

Sunday, April 21, 2013

 
Oleh : Mat Teropong
 
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, setelah sekian lama kita menantikan tarikh bagi pilihanraya ke 13 diumumkan, SPR telah mengesahkan bahawa PRU ke 13 akan diadakan pada Sabtu 4 Mei 2013. Lebih menggembirakan kita sebagai rakyat Bukit Payong ialah keputusan PAS untuk mengekalkan Ustaz Mohd Nor Hamzah sebagai calon bagi mempertahankan kerusi Bukit Payong sekali lagi. Di sini, suka saya berkongsi pengalaman saya menemani Ustaz Mohd Nor ketika bertugas sebagai wakil rakyat.

Sepertimana yang sudah diketahui umum, calon kita, Ustaz Mohd Nor Hamzah adalah seorang wakil rakyat yang sangat komited dengan tugas-tugasnya. Amat mudah untuk didekati, tiada protokol dan sangat disenangi golongan tua dan muda. Sentiasa membantu rakyat setakat kemampuan yang beliau ada dan yang paling penting sentiasa mencurahkan ilmu agama yang beliau miliki kepada rakyat Bukit Payong sebagai memenuhi tanggung jawab sebagai “ustaz” kepada manusia dan Allah.

Kesungguhan beliau dalam menjaga kebajikan rakyat Bukit Payong terbukti apabila sentiasa bersegera menziarahi dan membantu mereka-mereka yang kurang bernasib baik jika beliau berada di Bukit Payong atau berdekatan. Dan jika sekiranya beliau berada di luar kawasan, maka beliau akan segera menjenguk bertanya khabar atau menghulurkan bantuan apabila pulang. Beliau tidak hanya duduk menanti aduan masalah datang kepadanya, tetapi berusaha keluar melihat sendiri masalah-masalah yang dihadapi penduduk dengan bantuan ahli dari cawangan-cawangan PAS yang ada. Walaupun dinafikan  peruntukan RM2 juta dari kerajaan negeri sebagai wakil rakyat yang sah, dipilih oleh rakyat, itu tidak menghalang beliau untuk berusaha mencari sumber kewangan bagi membantu rakyat Bukit Payong.

Oleh itu, setiap bulan, beliau terpaksa keluar dari Bukit Payong selama beberapa hari bagi memenuhi jemputan kuliah-kuliah atau ceramah-ceramah di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dengan tujuan mengutip sedikit dana dari dermawan-dermawan di sana bagi mengisi tabung yang ditubuhkan MTD iaitu Tabung Rakyat Sejahtera yang ianya diperuntukkan khas bagi rakyat Bukit Payong. Terkadang Ustaz Mohd Nor akan membawa barang jualan sebagai salah satu cara mencari dana untuk tabung rakyat. Dengan tidur yang tidak cukup hampir setiap hari, menyebabkan beliau pernah menghadapi tekanan darah rendah. Namun Alhamdulillah ia tidak menjejaskan kesihatannya secara kritikal dan meskipun dalam keadaan sebegitu, beliau masih sanggup turun melihat keadaan rakyat akibat banjir akhir tahun lepas. Kerana tugasan, beliau teruskan demi tanggungjawab beliau kepada rakyat.

Sebagaimana wakil rakyat PAS yang lain, pendapatan beliau sebagai wakil rakyat, tidaklah sentiasa penuh kerana terpaksa dikeluarkan bagi membantu rakyat yang memerlukan dan juga potongan wajib bulanan diberikan kepada jemaah. Inilah antara pengorbanan kewangan yang telah beliau jalankan. Tetapi apa yang menarik perhatian saya, apabila beliau membawa pulang sumbangan untuk diagih-agihkan seperti sumbangan ramadhan, hari raya dan sebagainya, beliau akan mengumumkan bahawa sumbangan itu bukanlah hak beliau, tetapi beliau hanyalah mengagihkan sumbangan itu. Lebih membuatkan beliau dilihat sebagai seorang yang besar jiwanya apabila beliau mengagihkan bantuan tersebut tanpa menanyakan parti manakah penerima itu. Ini satu sikap sedar diri yang patut dicontohi oleh mana-mana pemimpin bahawa jangan mengaku kalau itu bukan harta kamu apatah lagi kemudiannya membuat ugutan kepada penerima untuk menyokongnya.

Dalam ketika sibuk dengan urusan rakyat pada siang hari, beliau pada malam harinya pula akan sibuk dengan jadual mengajar kitab-kitab agama di surau dan masjid di sekitar Bukit Payong yang kesemuanya ada lebih kurang 24 buah masjid dan surau secara bergilir-gilir. Ini semua dilakukan tidak lain kerana amanah yang akan beliau jawab di hadapan Allah nanti diatas kuasa dan ilmu yang beliau miliki. Alhamdulillah isteri beliau, Ustazah Zainon juga seorang lulusan al-Azhar, turut mengajar muslimat-muslimat di Bukit Payong. Saya melihat disini besarnya nikmat dari Allah kepada penduduk Bukit Payong apabila sentiasa disirami dengan ilmu agama apatah lagi ia datang dari pemimpin mereka. Ini semua belum dikira perihal Ustaz Mohd Nor yang selalu dipanggil untuk menguruskan jenazah, menjadi ketua bacaan doa selamat, majlis tahlil dan lain-lain majlis keagamaan oleh penduduk Bukit Payong.

Tidak dapat dinafikan sebagai seorang manusia biasa, beliau juga mempunyai kelemahan, akan tetapi ianya bukanlah kelemahan yang tidak bermoral seperti membahagi-bahagikan projek, atau tanah secara tidak betul, pecah amanah atau jenayah-jenayah yang lain. Kelemahan beliau adalah kelemahan manusia secara semulajadi. Walaupun begitu, susah payah dan usaha yang telah beliau lakukan untuk rakyat Bukit Payong, beliau tetap juga difitnah sebagai wakil rakyat yang tidak menunaikan amanah, hanya tahu ceramah malam hari, bila siang, tidur oleh mereka-mereka yang tidak tahu susah payah beliau sebagai wakil rakyat. Ternyata fitnah-fitnah insyaAllah itu tidak akan menjejaskan peribadi beliau. Bahkan beliau memaafkan penfitnah-penfitnah itu. Maka segala kekurangan dan kelemahan beliau itu harap dapat difahami dan dimaafkan dengan catatan ini. Oleh itu sekiranya kita mahukan pentadbiran yang lebih baik, cekap dan telus, pastikan anda memilih semua calon Pakatan Rakyat dalam PRU nanti agar kita dapat menguasai negeri dan pusat.

Dengan sokongan padu tidak berbelah bagi dari keluarga beliau, seluruh kepimpinan MTD, cawangan-cawangan, penduduk kampong, rakan-rakan serta tawakkal kepada Allah dalam tugasan beliau, saya melihat beliau melaksanakan tanggungjawab beliau. Dengan sedikit pengalaman yang saya rasa patut dikongsikan bersama sepanjang perkenalan dengan Ustaz Mohd Nor ini, rakyat Bukit Payong yang masih belum mengenali Ustaz Mohd Nor, terutama yang baru pertama kali akan membuang undi, ataupun mereka yang mendengar fitnah mahupun pembuat fitnah, tahu akan jerih payah sebenar Ustaz Mohd Nor yang telahpun pada penggal lepas, berusaha sedaya upaya bagi memenuhi tanggungjawab dunia dan akhirat bagi rakyat Bukit Payong walaupun dipenuhi kekangan dan kesulitan. Undilah calon N18 Bukit Payong : MOHD NOR HAMZAH

Saturday, April 20, 2013

Petikan :Harakahdaily
 


(Antara muka-baru PAS Terengganu...dari kiri Dr Khairudin, Wan Azhar, Raja Bahrin, Ariffin dan Hishamudin)

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu benar-benar membuat revolusi dalam pilihan raya ini apabila 40 peratus dari calonnya adalah muka baru.

40 peratus dari 36 calon yang akan bertanding atas tiket PAS di Terengganu adalah muka baru yang belum bertanding dalam pilihan raya sebelum ini.

Kesemua calon PAS di bawah Parlimen Besut dan Kemaman adalah muka baru dalam pilihan raya ini.

Bermula dari calon Parlimen Besut iaitu Ustaz Riduan Mohd Nor hingga ke DUN iaitu Kuala Besut (Nafisah Ismail), Kota Putera (Adam Said), Jerteh (Wan Azhar Wan Ahmad) dan Hulu Besut (Solahuddin Jaafar) adalah muka baru.

Di Kemaman juga kesemua calon PAS adalah muka baru iaitu DUN Kemasik adalah Alias Abdul Hamid, Kijal (Hazri Jusoh) Chukai (Hanafiah Mat) dan Air Putih (Abd Razak).

Di Kuala Nerus, dua calonnya adalah muka baru iaitu Dr Khairudin Aman Razali di Parlimen Kuala Nerus dan Hishamudin Abdul Karim di DUN Tepoh.

Di Parlimen Marang, dua muka baru diperkenalkan iaitu Ariffin Deraman di Alor Limbat dan Sulaiman Sulong di Pengkalan Berangan.
Beri laluan



(Tokoh-tokoh PAS Terengganu yang memberikan laluan...dari kiri Datuk Mustafa, Datuk Harun, Datuk Abu Bakar dan Datuk Wan Mutalib)

Antara nama-nama besar yang memberikan laluan kepada muka baru adalah Datuk Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS), Datuk Harun Taib (Ketua Dewan Ulama PASA Pusat), Datuk Abu Bakar Chik (AJK PAS PUsat) dan Datuk Wan Mutalib Embong (Timbalan Ketua JK Disiplin PAS Pusat).

Kesemua mereka tidak bertanding dalam pilihan raya umum ini.

Turut memberikan laluan adalah Haji Yahaya Ali, Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu di Alor Limbat, Ustaz Abu Bakar Abdullah yang sekian lama bertanding di DUN Tepoh dan Datuk Husein Awang (bekas Speaker).

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa sebelum ini berkata, sangat ramai calon PAS di Terengganu adalah anak muda dan muka baru diletakkan oleh PAS.

"Sebab itu kita meletakkan sasaran untuk menyumbangkan kerusi yang cukup untuk ke Putrajaya disamping mengambil semua negeri Terengganu dari tangan BN," kata Husam dalam sidang medianya 16 April lepas.

"Mesej yang kita hendak sampaikan kepada pengundi jelas, jenerasi baru perlu inspirasi baru," tambah Husam yang kini bertanding di Parlimen Putrajaya.

Calon wanita

Di samping itu, selepas lebih 50 tahun, PAS buat buat pertama kalinya meletakkan calon wanita sebagai calonnya.

Calon PAS itu, Nafisah Ismail akan bertanding merebut kerusi DUN Kuala Besut menentang penyandang kerusi berkenaan, Dr. A. Rahman Mokhtar.

Kali terakhir PAS mempunyai calon wanita di Terengganu adalah pada pilihan raya 1959 iaitu Khadijah Sidek di Parlimen Dungun dan menang.

Tuesday, April 16, 2013

Petikan : Buletin Online
 
http://www.buletinonline.net/v6/images/stories/berita62/mnor%20hamzah.jpgDewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) mengingatkan seluruh pemuda supaya bewaspada daripada sikap ganas dan agresif pihak lawan kerana tragedi keganasan terhadap petugas Pakatan Rakyat di Kemaman membuktikan sikap dan perangai pihak lawan yang sanggup melakukan apa sahaja.

Ia adalah gambaran betapa golongan yang gila kuasa, tidak sanggup untuk melihat dan menerima kekalahan dalam pilihanraya umum kali ke-13 (PRU-13) dengan cara demokratik dan adil.

Oleh itu, kami mendesak agar pihak kesalamatan supaya bertindak tangkas dan tegas dalam mengawal keselamatan. Siasatan mesti dibuat dan hukuman yang sewajarnya terhadap golongan yang mencetuskan keganasan itu meti dikenakan.

Sesungguhnya, Pemuda PAS dan para petugas PAS seluruhnya, dididik dengan kesedaran dan kesabaran serta disiplin diri supaya tidak mengganggu pihak lawan dan mencetuskan keganasan.

Justeru kami mengharapkan seluruh rakyat dapat melihat betapa kegagalan pemimpin Umno untuk mendidik dan mengawal ahli-ahli mereka supaya bersopan dan jangan bersikap jahat.

Kalau rakyat pelbagai bangsa dan negara di dunia telah berani buat perubahan kepimpinan negara mereka kerana keganasan pemerintah, pengikut dan tali barut pimpinan negara mereka, maka rakyat Terengganu mesti buat perubahan dalam PRU-13 dengan cara demokrasi untuk menolak pimpinan negeri yang membiarkan pengikut mereka melakukan kekejaman dan keganasan.

Bencilah keganasan dengan tolak Barisan Nasional!

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu

Sunday, April 14, 2013

Petikan : Buletin Online

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita18/Tolak2.jpgKUALA TERENGGANU - Lebih 1,000 orang anak-anak muda Terengganu yang menyertai Konvoi NGO anak muda TOLAK Umno dan Barisan Nasional berjaya menamatkan jelajah mereka di pantai perangnan Batu Burok pada kira-kira jam 5.30 petang.

Pegerusi TOLAK, Azan Safar berkata, sasaran konvoi TOLAK adalah menyebarkan risalah kepada kawasan-kawasan yang 'kuat' Umno sekitar Parlimen Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu.

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita18/Tolak1.jpg"hari ini kita bersama gelombang anak muda Tolak Umno-BN, pakatan 30 NGO yang dilancarkan pada 15 Mac yang lalu di ibu pejabat Umno PWTC, tanda anak muda dan mahasiswa tidak takut dan tidak gentar berhadapan dengan Umno-BN,

"hari ini kita berkumpul untuk menunjukkan kepada kumpulan Umno ini, anak muda sudah bersedia untuk tolak Umno-BN dalam PRU13, kita tidak lagi akan memberi mandat kepada Umno-BN kerana mereka tidak menjaga kebajikan, buktinya royalti minyak tidak diberikan kepada negeri Terengganu,"ujar Azan

Beliau berkata demikian ketika pelepasan Konvoi Tolak dari perkarangan stadium 'runtuh', Stadium Sultan Mizan Zainal Abdidin di Gong Badak pada jam 10.00 pagi hari ini Sabtu, 13 April.

Monday, April 8, 2013

Petikan : Buletin Online
 
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita18/SK%20Kedai%20Buloh%20retak2.jpgMARANG - Pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu khianat kepada rakyat dengan menyembunyikan masalah keretakan bangunan Sekolah Redah Kedai Buloh, di Jalan Kedai Buloh, Bukit Payong dekat sini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, beliau memberitahu pihak media supaya membuat liputan sebaik sahaja mengetahui tentang kerosakan teruk sekolah tersebut.

Malangnya, kata beliau, pihak media telah dihalang oleh pemimpin Umno dari mendedahkan perkara tersebut.

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita18/SK%20Kedai%20Buloh%20retak1.jpg"Sekolah Rendah Kedai Buloh, guru besar (dan) cikgu-cikgu tahu, berlaku retakan (pada bangunan) sehingga syiling sekolah tercabut jatuh dalam bilik guru perempuan,

"Saya telefon wartawan suruh wartawan massuk dalam suratkhabar tiba-tiba disekat, supaya wartawan jangan buat liputan takut (bimbang) rakyat tahu,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ceramah Pasca Pembubaran Parlimen di Kedai Buloh, pada Khamis malam, 4 April lalu.

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita18/SK%20Kedai%20Buloh%20retak4.jpgSelaku ADUN kawasan terbabit, Ustaz Mohd Nor berkata, beliau telah membawa perkara tersebut dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (Sidang DUN) dan meminta kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya.

Sebaliknya, kata beliau, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said hanya menyifatkan keretakan yang boleh mengancam nyawa itu, hanyalah kerosakan kecil sahaja.

"Saya sebut dalam Dewan (Sidang DUN) kenapa kerajaan tak ambil cakna dan prihatin walaupun sekolah itu dalam keadaan bahaya, (boleh) mengancam nyawa pelajar-pelajar dan guru-guru.

Mereka jawab dalam Dewan sikit je kita selesailah, Mad Said jawab sikit je (keretakan itu) (kata Mad Said) hok gitu bising!,"jelas Ustaz Mohd Nor.

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita18/SK%20Kedai%20Buloh%20retak3.jpgMenurutnya walaupun kerosakan tersebut yang dianggap remeh oleh kerajaan Umno-BN dan Menteri Besar Terengganu, namun sehingga kini, kerosakan pada bangunan sekolah itu masih belum diperbaiki.

Beliau mendakwa, ia adalah kerana Umno-BN mahu mengkhianati rakyat dengan menuduh kawasan Kedai Buloh adalah kawasan kuat PAS dan tidak perlu dibuat sebarang pembaikian terhadap keretakan yang berlaku pada bangunan sekolah itu.

Tinjauan mendapati, kerosakan yang teruk pada bangunan sekolah tersebut termasuk retak pada tiang, tetulang konkrit dan syiling yang tercabut [gambar].

Sunday, April 7, 2013

Petikan : Buletin Online
 
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita18/mohd%20nor%20hamzah%20azhar%20idrus.jpgKUALA TERENGGANU - Fokus utama dan istimewa Dewan Pemuda PAS Terengganu (DPPNT) adalah Naib Ketuanya, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah yang insyaAllah akan bertanding di peringkat parlimen Hulu Terengganu, disamping ketuanya sendiri, Ustaz Mohd Nor Hamzah yang dijangka akan mempertahankan kerusi DUN Bukit Payong.

Menurut Ustaz Mohd Nor, Timbalan Ketua Ustaz Ridzuan Hashim pula, insyaAllah akan meneruskan perjuangan di DUN Teluk Pasu.

Katanya, pemuda akan membuat sentuhan istimewa dengan melantik pendakwah terkemuka Ustaz Azhar Idrus sebagai 'Duta' Dewan Pemuda PAS Terengganu sepanjang kempen pilihanraya umum kali ke-13 yang dijangka berlangsung pada hujung bulan ini.

"InsyaAllah, fokus utama dan istimewa di parlimen yang akan ditandingi oleh Ustaz Kamaruzaman (Abdullah) Naib Ketua DPPNT, kita akan membuat sentuhan 'istimewa' dengan seluruh pengundi muda,

" Ustaz Azhar (akan) menjadi 'Duta' Pemuda PAS di sepanjang (kemen) PRU-13,"ujar beliau yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi DUN Bukit Payong.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program 'Gateh Bersama Ustaz Azhar Idrus' di sini Jumaat baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, DPPNT akan berusaha keras bagi memastikan calon-calon di kalangan pemuda yang telah diberi amanah untuk bertanding dalam PRU-13, memperolehi kejayaan.

Oleh itu, menurutnya, DPPNT akan akan melancarkan secara rasmi 'Tawaran Anak Muda Berkebajikan ke Wisma Darul Iman dan Putrajaya dalam masa terdekat.

"Kita akan lancarkan (manifesto) tawaran anak muda berkebajikan ke wisma (Darul Iman) dan Putrajaya, dan kita mahu anak-anak muda tahu dan merasai, sesungguhnya kerajaan PAS dan Pakatan Rakyat, (di) Terengganu dan Pusat, ambil cakna kebajikan dan agenda kehidupan mereka,"tambahnya

ARKIB