Tuesday, July 31, 2012

Petikan Buletinonline:

MARANG - Dewan Pemuda PAS Terengganu menggesa Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said, Kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu supaya menyambung semula pinjaman pelajaran yang telah ditamatkan ke atas sembilan orang mahasiswa yang sedang menuntut di negara Mesir

Ketuanya,YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, keputusan kerajaan menamatkan pinjaman tersebut adalah berdasarkan gambar yang menunjukkan mahasiswa itu terbabit dengan Himpunan Aman Bersih yang dituduh sebagai 'haram dan kotor’.

Sebaliknya kata beliau, mahkamah pada 24 Julai lalu, telah memutuskan bahawa BERSIH adalah entiti yang sah disisi undang-undang.

Beliau menegaskan, mahkamah juga membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 1 Julai tahun lepas yang mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram.

"Saya minta MB Ahmad Said bertindak dengan rasional berlandaskan undang-undang selaras dengan keputusan mahkamah yang telah dibuat,

“Pinjaman sembilan mahasiswa tersebut ditamatkan dengan tuduhan terlibat dengan himpunan ‘haram’ BERSIH.

"Seharusnya apabila mahkamah sudah memutuskan tentang BERSIH maka wajarlah hak mahasiswa untuk mendapatkan pinjaman tersebut di kembalikan," ujarnya ketika ditemui.

Menurutnya, Ahmad Said, kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu dianggap sebagai melanggar perintah mahkamah dan menghina keputusan Hakim Datuk Rohana Yusof, sekiranya tidak mengembalikan semula pinjaman tersebut.

[Gambar atas - Ustaz Mohd Nor menyampaikan sumbangan kepada salah seorang bapa mahasiswa Mesir yang ditamatkan pinjaman dalam satu majlis pada Jun lalu]
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong turut meminta kerajaan negeri berlapang dada dan meminta maaf kepada keluarga pelajar terbabit yang telah dizalimi sempena bulan Ramadhan yang mulia ini.

“Buangkanlah sifat ‘angkuh dan sombong’ dalam bulan Ramadhan ini, yang benar tetap benar,

“Tidak salah, bahkan di tuntut, kerajaan sudah mengambil langkah yang salah, wajarlah meminta maaf kepada keluarga pelajar yang terbabit,” jelasnya.

Beliau turut meminta mana-mana penggiat media dan wartawan, yang sudah ‘terlebih’ menyatakan sesuatu terhadap perkara yang tidak benar menggunakan bukan yang baik ini untuk memohon keampunan kepada ilahi.

Monday, July 30, 2012

Petikan Sinar Harian (29 Julai)

Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) mendesak kerajaan mengambil tindakan bagi memastikan kekejaman ke atas masyarakat Islam Rohingya di Myanmar dihentikan.

Menurut DPPNT, perbincangan dengan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Negara-negara Islam lain perlu bagi mengecam kezaliman ke atas etnik terbabit yang ditindas sejak Jun lalu.

Ketuanya, Mohd Nor Hamzah berkata, usaha yang jitu daripada semua pihak juga dapat memastikan etnik Rohingya diberi bantuan dan menyambut Ramadhan dalam keadaan sewajarnya.

“Kita berharap kerajaan cakna terhadap perkara ini dan mengadakan perbincangan dengan OIC serta negara-negara lain bagi menghentikan keganasan dan menghulurkan bantuan kepada masyarakat Rohingya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Mohd Nor berkata, desakan itu dibuat memandangkan pihaknya belum mendengar apa-apa tindakan yang diambil kerajaan dalam usaha menangani perkara itu.

Pada masa sama, beliau turut menyeru masyarakat Islam di negara ini peka terhadap kesengsaraan masyarakat Islam di negara lain yang tidak berkemampuan menyambut Ramadhan dalam suasana selesa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong berkata, bulan puasa dilihat sebagai masa terbaik kepada masyarakat di negara ini merasai penderitaan dan keperitan umat Islam termasuk di Palestin dan Syria.

Sementara itu, Setiausaha DPPNT, Muhammad Zaidan Abdullah memberitahu pihaknya telah menerima arahan daripada Dewan Pemuda PAS Pusat untuk mengadakan munajat dan bantahan berhubung kekejaman ke atas umat Islam Rohingya.

Beliau menjelaskan, bantahan tersebut berkemungkinan diadakan serentak dengan Dewan Pemuda Pas Pusat pada Jumaat ini, namun mengakui belum mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu.

“Kita turut menjemput pertubuhan bukan kerjaaan (NGO) seperti Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) dan Yayasan Amal untuk bersama-sama dalam bantahan tersebut,” katanya.

Sunday, July 29, 2012

Petikan Sinar Harian :

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu mengisytiharkan bulan Ramadan sebagai ‘Bulan Tarbiyah’ sebagai usaha mengajak generasi muda meningkatkan ibadat sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.

Setiausahanya, Muhammad Zaidan Abdullah berkata, pelancaran Bulan Tarbiyah peringkat negeri yang dibuat dua hari sebelum ketibaan Ramadan itu, bertujuan menggalakkan ahli parti mengisi ruang yang ada dengan amalan bermanfaat.

“Program ini khusus untuk golongan muda dan kita turut memberikan senarai pengisian amalan sebagai garis panduan untuk mereka melakukan amalan harian seperti solat berjemaah dan tadarus.

“Kita juga turut menggalakkan setiap Dun mengadakan majlis khatam al-Quran selain menganjurkan ceramah 'badar kubra' bersempena Nuzul al-Quran pada tarikh yang belum ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Antara majlis lain yang dianjurkan Pemuda Pas melibatkan majlis berbuka puasa bersama anak yatim, sumbangan pakaian raya, agihan bubur lambuk, pengedaran risalah Ramadan dan isu semasa.

Sementara itu, pihaknya turut meminta umat Islam merancang masa dengan baik terutama urusan untuk sambutan hari raya bagi memastikan solat Tarawih tidak diabaikan.

Menurutnya, kesibukan orang ramai untuk menyambut Syawal turut mempengaruhi kekurangan jemaah di masjid dan surau pada penghujung Ramadan sebagaimana biasa berlaku pada tahun sebelumnya.

“Secara umumnya kekurangan jemaah selepas 15 Ramadan ini berlaku di hampir kebanyakan surau dan masjid disebabkan kesibukan mereka untuk menyambut Syawal.

“Tiba akhir Ramadan kebanyakan mereka sibuk mencari keperluan hari raya dan keadaan ini menjadi faktor kekurangan jemaah. Jadi, mereka perlu mencari ruang sebaiknya di awal Ramadan dan tidak menunggu saat akhir supaya tidak mengganggu ibadat terutama solat sunat Tarawih,” katanya.

Friday, July 20, 2012


Bismillahir rahmaanir rahiim

Ramadhan merupakan madrasah  yang disusun oleh Allah dengan sukatan  tarbiyah yang melahirkan muslim yang mencapai kemenangan di dunia dan akhirat. Kemenangan di akhir dengan ketakwaan dan kemerdekaan daripada neraka.Firman Allah :

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ  Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Firman Allah :

وَلَيۡسَ ٱلۡبِرُّ بِأَن تَأۡتُواْ ٱلۡبُيُوتَ مِن ظُهُورِهَا وَلَـٰكِنَّ ٱلۡبِرَّ مَنِ ٱتَّقَىٰ‌ۗ وَأۡتُواْ ٱلۡبُيُوتَ مِنۡ أَبۡوَٲبِهَا‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّڪُمۡ تُفۡلِحُونَ

189. dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki Rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang Yang bertaqwa; dan masuklah ke Rumah (kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berja ya."

Ramadhan telah melakar sejarah kemenangan dalam pertembungan dengan musuh Islam. Kemenangan yang dicatat dengan darah mujahid yang ditarbiyah di  madrasah Ramadhan.

1-    Kefarduan puasa Ramadhan dan Jihad pada tahun 2H.

2-    Kemenangan dalam peperangan Badar Kubra pada tahun ke 2H.

3-    Penyediaan khandaq untuk perang Ahzab yang disambut kemenangan pada bulan syawal tahun 5H.

4-    Pembukaan Mekah pada tahun ke 8H.

5-    Peperangan Taif pada 8H.

6-    Peperanga Tabuk pada tahun 9H.

7-    Pembukaan Buit, kota milik Parsi  yang hampir dengan Kufah pada tahun 13H.

8-    Ketibaan Umar Al-Khattab dan pembukaan Baitul Maqdis pada 15H.

9-    Peperangan Qadisiyyah tahun 15H dengan kepimpinan Saad bin Abi Waqqas.

10- Pembukaan kerajaan Nubah, selatan Mesir  pada tahun 31H.

11- Pembukaan Andalus oleh tariq bin Ziyad pada 92H.

12- Kemenangan Kerajaan Abasiyyah terhadap Kerajaan Baizantin dalam peperangan Amuriyyah pada 223H.

13- Kemenangan tentera Salahuddin di Hithin pada 584H.

14- Kemenangan berhadapan dengan tentera Tartar di Ain Jalut pada tahun 658H.

15- Kemenangan di Mansurah daripada tentera Solibiyyah pada tahun 647H.

16- Kemenangan Kerajaan Othmaniyyah ke atas Rusia dalam peperangan Tatarijah pada 1809M

17- Kemenangan Mesir ke atas yahudi dalam perang 6 Oktober pada 1973M


TARBIYAH RAMADHAN DENGAN NILAI-NILAI  JIHAD.

1-    Ikhlas. Ramadhan mendidik hati supaya ikhlas dalam melakukan segala amalan dan perjuangan. Sabda Rasulullah :

من صام رمضان إيمانا واحتسابا غُفر له ماتقدم من ذنبه )متفق عليه
      Maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, nescaya diampunkan apa yang telah lalu daripada dosanya.”

رب صائم حظه من الصيام  الجوع والعطش

(رواه أحمد )
      Maksudnya : “Betapa ramai orang yang berpuasa, bahagiannya daripada puasa hanya lapar dan dahaga.”

2-    Takwa. Nilai ketakwaan penting dalam diri mujahid sebagaimana yang dipesan oleh Umar bin Al-Khattab kepada Saad bin Abi Waqqas dan tenteranya. Katanya : “Aku berpesan kepadamu dan tentera yang bersamamu dengan takwa kepada Allah.”

3-    Jihad mendidik  dan mengawal nafsu. Ramadhan menuntut jihad nafsi dan mujahadah dengan galakan Rasulullah tentang syafaat puasa dan al-quraan pada hari kiamat. Sabda Rasulullah :
الصيـــام والقــــرآن يشــــفعان للعبد يوم القيامة ، يقول الصيـــام : أى رب منعته الطعام والشهوة فشــــفعنى فيه ، ويقول القرآن : أى رب منعته النوم بالليل فشـــفعنى فيه، قال :  فيشفعان " (رواه الإمام أحمد والطبرانى)
      Maksudnya : Puasa dan al-Quraan akan memberi syafaat kepada seorang hamba pada hari Kiamat. Puasa berkata ; Wahai Tuhan ! Aku telah menghalangnya daripada makan dan syahwat, maka berilah kepadaKu untuk mensyafaatkannya. Al-Quraan berkata : “Wahai Tuhan ! Aku menghalangnya daripada tidur, maka berlah kepadaKu untuk mensyafaatkannya. Firman tuhan : Kamu berdua berilah syafaat kepadanya.”

4-    Jihad harta benda. Sabda Rasulullah :
روى الترمذي في صحيحه عن أنس قال : سئل النبي – صلى الله عليه وسلم –

أي الصدقة أفضل ؟ فقال :صدقة في رمضان "
Maksudnya : “Rasulullah pernah ditanya – Apakah sedekah yang paling afdhal? Rasulullah menjawab : Sedekah pada bulan ramadhan.
5-    Jihad untuk laksana kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan. Sabda Rasulullah :

وينادي مناد يا باغي الخير أقبل ويا باغي الشر أقصر

      Maksudnya : Menyerulah malaikat, “Wahai orang yang mencari untuk melakukan kerja-kerja kebaikan dan kebajikan, teruskanlah. Wahai orang yang mencari-cari kerja-kerja kejahatan, cukuplah dan berhentilah.”

فقد كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس وكان اجود مايكون في رمضان حين يلقاه جبريل يلقاه كل ليلة فيدارسه القرآن فرسول الله صلى الله عليه وسلم حين يلقاه جبريل أجود بالخير من الريح المرسلة.) متفق عليه(

      Maksudnya : Sesungguhnya Rasulullah adalah orang yang paling pemurah. Rasulullah lebih bersifat pemurah di bulan Ramadhan, ketika Jibrail menemui pada setiap malam, maka baginda bertadarus al_quraan bersama Jibrail. Seterusnya Rasulullah sangat pemurah untuk melakukan kerja-kerja kebajikan bagaikan tiupan angin  yang bertiup

6-    Sabar. Sabda Rasulullah :

الصوم نصف الصبر»أخرجه الترمذي

      Maksudnya : Puasa adalah separuh kesabaran.

7-    Tawakal  dan bergantung harap kepada Allah.

ثلاث دعوات مستجابات : دعوة الصائم ودعوة المظلوم ودعوة المسافر ) رواه البيهقي وصححه الألباني(

Maksudnya : “Tiga doa yang dimustajab oleh Allah ; Doa orang yang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan doa musafir.”

8-    Jihad untuk menegakkan pemisahan antara kebenaran dan kebatilan (furqan). Rasulullah telah mencontohi semangat jihad dan perjuangannya untuk menghadapi musuh di bulan Ramadhan bagi mencapai kemenangan Islam daripada kebatilan. Sabda Rasulullah :
وجاهدوا المشركين بأموالكم وأنفسكم وألسنتكم " ( رواه أبو داود) .
Maksudnya : “Berjihadlah menentang musyrikin dengan harta kamu, diri kamu dan lidah kamu.”
Agenda tarbiyah jihad di bulan Ramadhan yang sangat murni dengan nilai-nilai penting untuk menuju kemenangan Islam dan partinya perlu dihayati oleh setiap pimpinan dan penyokong PAS dengan ibadat puasa, tarawih, qiamulail, tadarus al-Quraan, iktikaf, sedekah dan zakat fitrah, kerja-kerja kebajikan, amal jamai dan solat jemaah. Wallahua’lam

Thursday, July 19, 2012

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payong Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah berkirim salam kepada semua dengan ucapan Assalamualaikum dan ingin memohon sumbangan bagi menjayakan program bantuan bulan ramadhan kepada yang memerlukan di DUN BUkit Payong.Kepada sesiapa yang berhajat untuk memberikan sumbangan bolehlah menyalurkannya ke akaun Maybank Tabung Rakyat Sejahtera 5630 1902 4338.Segala sumbangan dari pihak tuan beliau dahulukan dengan ucapan jazakallahu khairan kathira.Sekian terima kasih

Tuesday, July 10, 2012

Petikan : Sinar Harian
Asri menunjukkan pintu bilik tidurnya yang terbelah dua selepas penjenayah terbabit memecahkannya deMARANG – Lapan sekeluarga terpaksa menempuh detik mencemaskan apabila banglo dua tingkat didiami mereka di Jalan Cangkul Abas, Undang di sini, dipecah masuk sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan kayu, semalam.

Penjenayah terbabit turut bertindak memecah pintu bilik tidur sehingga terbelah dua dengan menggunakan tong gas memasak dan mengikat tiga ahli keluarga tersebut dengan tali termasuk mengacu parang panjang ke leher mangsa.

Pemilik banglo, Asri, 40, berkata, mereka hanya mahukan duit dan emas sahaja, malah mengugut akan mencederakan ahli keluarga termasuk melarikan isterinya jika permintaan tidak ditunaikan.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia sedang tidur bersama isterinya, Norhayati Kamaruddin, 32, dan anak bongsu mereka berusia sembilan bulan di tingkat atas manakala bapa dan ibu mentua bersama tiga lagi anak mereka pula tidur di tingkat bawah.

Katanya, dia terjaga dari tidur apabila terdengar bunyi dentuman sangat kuat menghentam pintu bilik tidurnya, dan muncul seorang penjenayah yang terus meluru ke arahnya sambil menghunuskan parang panjang.

"Dia (penjenayah) yang berpakaian seperti seorang penoreh getah menutup mukanya, tetapi saya sempat melihat wajahnya ketika kain menutup mukanya itu tertanggal.

“Gara-gara masih tidak berpuas hati dengan barang diambil, penjenayah itu membawa isteri saya turun ke tingkat bawah selepas mengugut akan melarikannya, namun tidak berbuat demikian sebaliknya meninggalkan isteri saya di luar rumah,” katanya.

Bapa empat anak itu berkata, selepas yakin kesemua suspek itu sudah melarikan diri, dia dibantu ahli keluarga lain berjaya membuka ikatan dan bersyukur setelah mendapati tiada anggota keluarga tercedera dalam kejadian itu.

“Mereka bagaimanapun berjaya melarikan sebuah kamera jenama Canon, external hard disk, komputer riba, lima telefon bimbit, barang kemas milik isteri dan ibu mentua saya,” katanya yang tidak dapat menganggarkan jumlah kerugian akibat kejadian itu.

Sementara itu, ibu mentuanya, Khatijah Saad, 67, memberitahu, penjenayah itu turut memecahkan pintu bilik tidur tingkat bawah dengan menggunakan tong gas dan mengikat tangan dan kaki suaminya, Kamaruddin Hamzah, 70-an sebelum naik ke tingkat atas.

Menurutnya, penjenayah terbabit juga sempat memakan buah-buahan di ruang tamu sambil menggeledah setiap ruang rumah sebelum melarikan diri.

Dalam pada itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berkata, pihak polis kini sedang mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kes yang akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Tuesday, July 3, 2012

Marang : Kerajaan hari ini digesa agar membawa amil-amil yang tidak amanah ke muka pengadilan untuk didakwa.

Gesaan ini dibuat oleh Adun Bukit Payong Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika mengulas tentang laporan isu pemecatan 39 orang amil yang dikatakan tidak beramanah oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) semalam.
Semalam sebuah akhbar mengemukakan laporan pemecatan amil-amil oleh Maidam itu yang disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat.
Menurut Khazan, pemecatan serta merta itu dilihat wajar sebagai pengajaran bagi mereka yang tidak amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.
Yang DiPertua Maidam, Datuk Mazlan Hashim berkata, pihaknya mempunyai bukti kukuh untuk mensabitkan kesalahan mereka dan tindakan tegas yang diambil itu merupakan pengajaran kepada yang lain agar tidak sesekali mengulangi kesalahan yang sama.
Mengulas lanjut tentang hal ini, Ustaz Mohd Nor meminta Maidam menyenaraikan sepenuhnya kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh amil-amil tersebut.
“Maidam seharusnya menyenaraikan sepenuhnya kesalahan-kesalahan mereka itu, bukan hanya sebahagian sahaja.
Kita minta supaya mereka didakwa atas kesalahan ini kerana kita bimbang berlaku kezaliman ke atas amil-amil ini dan ini sepatutnya Maidam hindari.
Sekiranya ada diantara amil-amil tersebut merasakan diri mereka dizalimi maka kita mohon agar mereka sedia menyatakan sikap mereka atas hal ini,” saran beliau.
Tambah beliau lagi isu ini perlu ditangani dengan serius kerana ia mungkin boleh menyebabkan kepercayaan orang ramai kepada amil-amil akan musnah.

Monday, July 2, 2012

Petikan : Buletinonline

MARANG – Anak-anak muda Terengganu menjawab dengan jelas dan tegas, mereka telah bersedia untuk menjatuhkan kerajaan Umno dan Barisan Nasional secara demokratik pada pilihanraya umum yang ke-13 akan datang.

Mereka yang menyertai sesi ‘Xpresi Hijau Menuju Putrajaya’ berkata demikian ketika ditanya oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasruddin Hassan.

“Justeru itu, saya nak tanya pada hari ini, tak kiralah anak muda lelaki ataupun anak muda muslimah, saya nak tanya pada hari ini…..

“Adakah anak-anak muda yang berhimpun di experisi hijau anak muda Terengganu pada hari ini telah bersedia untuk memegang tanggungjawab ini?,”soal Nasruddin.

Pertanyaan Nasruddin itu dijawab ‘Ya’ oleh kira-kira 5000 orang anak muda yang hadir berhimpun di Kampung Pada Mengkuang dekat sini.

Nasruddin berkata demikian ketika menyampaikan pidato khasnya pada program PAS Ganti Umno Kali Ke-4 dan Himpunan Hijau peringkat negeri Terengganu pada Sabtu 30 Jun.

Oleh itu, beliau mengingatkan supaya mereka tidak leka dan lalai serta setia dengan perjuangan dan berpaling ke belakang apabila diserang musuh.

Katanya, walaupun terpaksa berhadapan dengan pahit gentir, perubahan mesti dilakukan dan Umno-BN mesti dijatuhkan.

Beliau berkata, biar apa sahaja halangan melintang dan rintangan yang datang, anak-anak muda mesti terus berjalan menuju ke Putrajaya.

“maka kita terus mara dan melangkah ke Putrajaya, biarkan apa sahaja halangan melintang, rintangan yang datang, itulah sunnatullah yang dijanjikan oleh Allah.

“Memang perit kita berjuang, tetapi Allah menyebut kepada kita ‘jika sekiranya kamu merasai sakit berhadapan dengan mereka, bertempurdengan mereka, bersaing dengan mereka. Kamu berasa sakit, merasa perit. Merasa pedih. Maka mereka juga sakit sebagaimana kamu rasai sakit itu’,”tegasnya.

Sehubungan itu, Nasruddin telah melancarkan logo ‘Pakat Pangkah PAS Bohh’ yang menjadi moto Pemuda PAS dalam menghadapi kempen pilihanraya umum yang akan datang.

Turut sama dalam sesi ‘Xpresi Hijau’ itu adalah Setiausaha DPPM Khairul Faizi derta ahli-ahli Jawatankuasa DPPM dan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah serta ahli-ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu.

Sunday, July 1, 2012

Sumber : Buletin Online

MARANG – Tiga bekas pegawai tinggi kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) ditemukan dan berceramah diatas satu pentas pada program ‘PAS Ganti Umno’ Kali Ke-4 dan Himpunan Hijau Ke Putrajaya yang diadakan di Kampung Padang Mengkuasng dekat sini Jumaat malam 29 Jun.

Ketiga-tiga mereka adalah Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Datuk Fauzi Shaari, Bekas Ketua Setiausaha Negara Datuk Ismail Yahya dan Bekas Timbalan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peldang Tuan Haji Abdul Rahman Taib .

Mereka yang telah pun menjadi ahli PAS, melahirkan tekad dan keazaman bersama dengan PAS bagi menggantikan Umno menuju Purajaya bagi menggantikan Umno sebagai pemerintah.

Haji Abdul Rahman Taib (gambar atas) yang sebelum ini pernah berucap pada program Selamat Tinggal Umno di Chukai Kemaman berkata, Umno mesti digantikan kerana parti itu bukan sahaja tidak lagi relevan, bahkan ia dalam keadaaan yang bercelaru.

Datuk Ismail Yahya (gambar tengah) pula mendedahkan, beliau telah menjadi ahli PAS sejak lama dulu bahkan ketika mememegang jawatan Pegawai Tadbir Diplomatik dibawah mantan Perdana Malaysia, Tun Dr Mahathir, beliau terus memegang prinsip tidak bersetuju dengan beberapa tindakan yang diambil oleh kerajaan.

Manakala, Datuk Fauzi Shaari (gambar kiri)memberi peringatan kepada kerajaan walaupun beliau terikat dengan etika sebagai seorang bekas pegawai, namun beliau akan mendedahkan ‘kebobrokan’ kerajaan Umno-BN apabila tiba waktunya.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang turut menyampaikan ucapan, kehadiran ketiga-tiga bekas pegawai kanan kerajaan itu sudah cukup untuk menyampaikan mesej kepada seluruh rakyat, perubahan mesti dibuat pada pilihanraya umum ke-13 akan datang.

Turut hadir adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu Haji Mohd Abdul Wahid Endut, timbalan-timbalan Pesuruhjaya dan semua pimpinan PAS peringkat Perhubungan Negeri.

Dengar dan lihat ucapan-ucapan malam pertama PGU04 & Himpunan Hijau Terengganu di Buletinonline Channel dan Kembali ke Buletinonline.net Untuk Berita Lanjut

ARKIB