Thursday, July 28, 2011

Oleh : Mat Teropong

Membaca berita berkenaan laporan Majlis Keselamatan Negara ( MKN ) berkenaan dengan gerakan Wahhabi yang dikatakan mengancam keselamatan Negara kerana ada unsur-unsur pengganas membuatkan kita tersenyum.Apa tidaknya bukan sahaja ulamak yang dikatakan ada hubungan dengan wahhabi yang duduk di luar Umno seperti Prof. Madya Dr.Mohd Asri Zainul Abidin malahan sekumpulan ulamak muda yang ada di dalam Umno juga terpalit dengan tuduhan pengganas.

Kira-kira 40 orang ulamak muda itu yang pada masa penyerahan borang untuk menjadi ahli Umno kepada Perdana Menteri sedikit masa dahulu, dikatakan akan menjadi golongan yang memperjuangkan agama, mempertahankan Umno dari serangan pihak lawannya terutama serangan berkenaan keagamaan ( yang sudah tentunya PAS ), memperkasakan biro agama (parti yang mendakwa Islam hanya menyediakan biro sahaja untuk agama Islam) dan banyak lagi agenda-agenda yang hendak dilakukan demi memperjuangkan agama melalui Umno kononnya.

Akan tetapi setelah menyerahkan diri kepada Umno, maka inilah balasannya kepada mereka. Tiada harga atas usaha mereka, sayangnya mereka masih tidak sedarkan diri. Tidak mahu melihat sejarah yang begitu jelas menunjukkan kebencian Umno terhadap apa sahaja perkara yang berkaitan dengan agama. Ada nasihat dari orang dahulu iaitu orang yang sering terpedaya ialah orang yang tidak mahu belajar dari sejarah. Apatah lagi sejarah itu masih hidup iaitu orang yang mengalaminya masih hidup, belum mati lagi. Mari kita teliti sejarahnya.

Lihatlah sejarah bagaimana lahirnya PAS jika tidak kerana percanggahan pendapat antara nasionalis dengan agamawan di dalam Umno pada awal penubuhannya. Maka sekumpulan ulamak di dalam Umno keluar dan menubuhkan PAS. Bukti ini jelas iaitu semenjak dari mula lagi Umno memang bencikan ulamak. Ketika tahun-tahun Umno sakit, sekitar tahun 70-an maka mereka memanggil PAS bagi membantunya mencari ubat. Setelah ubat diberikan, maka PAS bukan sahaja ditendang tapi dijadikan musuh utama. Kerana apa? Hanya kerana PAS memperjuangkan dasar-dasar Islam.

Tiba ke era 80-an, sejarah masih belum puas mencatat tentang perilaku Umno terhadap ulamak. Masuklah Nakhaei Ahmad salah seorang orang harapan PAS ke dalam Umno pada akhir 80-an. Bekas ulamak PAS ini adalah salah seorang yang dicadangkan untuk menjadi ahli panel debat antara PAS dan Umno pada tahun 1985. Begitulah kehebatan ilmu Nakhaei yang dihargai oleh PAS pada waktu itu. Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke rumah Umno, maka pada saat itu jugalah harga dirinya jatuh merudum. Apa yang dia dapat hanyalah Yang diPertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia tanpa pengaruh politik. Kemana agaknya dia sekarang? Telah Islam sepenuhnyakah Umno hasil dari didikan agamanya kepada ahli Umno? Berubahkah dasar Umno kepada Islam? Tiada apa yang tinggal kecuali tulisan-tulisannya yang tidak dapat dipastikan samada ianya bernilai kepada Umno atau hanya layak masuk tong sampah Umno.

Begitu juga Anwar Ibrahim yang walaupun bukan seorang ulamak tapi apabila dia cuba membersihkan tong tahi, maka dia telahpun terpalit dengan tahi itu dan paling malang jatuh tersembam atas tahi itu. Kerana apa? Kerana nilai-nilai Islam yang cuba dia terapkan di dalam Umno. Lihatlah dimana Tan Sri Wan Mokhtar sekarang ini, yang hanya menjadi duta Malaysia ke Arab Saudi. Mana dia Yusof Noor bekas pengerusi Felda dan Ibrahim Azmi ulamak dari Bukit Tunggal Terengganu? Apa khabarnya Fadhil Hanafi lawan tegar almarhum Ustaz Fadhil Nor di Bukit Raya, Kedah? Inilah nama-nama besar yang diwar-warkan sebagai ulamak Umno satu ketika dahulu. Tapi apa jadi kepada mereka?

Bukan masalah apa jawatan mereka dulu atau sekarang akan tetapi ilmu agama yang ada pada mereka. Apa yang Umno dapat? Takkanlah hanya menjadi pembaca doa ketika merasmikan Mesyuarat Agung Umno sahaja. Ada ilmu tapi tak boleh dimanafaatkan kepada orang lain. Maka amat rugilah orang itu. Ibarat buah yang sudah masak ranum, dimakan tidak, diberi kepada orangpun tidak, akhirnya buruk dan membusuk, maka terpaksa dibuang begitu sahaja.

Masuk ke tahun 90-an pula ada lagi yang masih tak sedar dengan sejarah yang berlaku, masuk pula sekumpulan kecil ulamak ke dalam Umno. Antaranya Ustaz Ghazali Ahmad dari Losong dan Ustaz Ismail dari Machang. Tidak dapat dipastikan apa yang telah terjadi kepada mereka sekarang, tapi sesuatu yang pasti, mereka tidak ada harga di dalam Umno. Sejarah tidak menipu.

Berlaku pula peristiwa keatas almarhum bekas Mufti Selangor Dato’ Ishak Baharom, yang mengenakan hukuman kepada peserta pertandingan ratu cantik di Selangor kira-kira satu dekad yang lalu, tetapi akhirnya beliau yang dipecat dari jawatan mufti. Ini menjelaskan lagi kebencian Umno kepada ulamak-ulamak. Menurut Ustaz Mohd Nor Hamzah, pemecatan Dato’ Ishak Baharom ini, adalah bukti jelas kebencian Umno terhadap orang yang memperjuangkan agama. Katanya lagi orang ramai harus membaca sejarah ini dan menghayatinya dengan bersungguh-sungguh. Dan apabila Dato’ Ishak memasuki rumah PAS, maka ahli-ahli PAS berebut-rebut menjemput beliau untuk mendapatkan ilmu darinya. Begitulah bezanya penghargaan dari kumpulan yang cintakan ilmu dan ulamak dengan kumpulan yang bencikannya.

Jadi, adakah tugas-tugas ulamak-ulamak dalam Umno ini yang diingati? Jawapannya ada, antaranya ialah melakonkan satu debat olok-olok diantara ulamak PAS olok-olok dan ulamak Umno yang betul satu ketika dahulu. Debat yang dilakonkan oleh sekumpulan ulamak dalam Umno itu, akhirnya dimenangi PAS. Malangnya Umno, ulamak mereka kalah sebelum debat betul-betul berlaku. Itulah tugas yang paling penting yang dijalankan oleh ulamak Umno yang masih diingati ramai sehingga sekarang.

Berbalik kepada ulamak muda Umno ini, maka sia-sialah sahaja gelaran yang diberikan mereka kepada peserta Bersih 2.0 iaitu golongan khawarij, bughah, penderhaka dan sebagainya kerana akhirnya gelaran pengganas berbalik kepada mereka. Kasihan kepada dulang, paku tak serpihpun. Amat malanglah bagi mereka yang cuba mentarbiyyahkan Umno tetapi akhirnya dilabelkan sebagai pengganas. Bukankah orang tua-tua sudah melarang memberi bunga kepada beruk, kerana beruk tak pandai menghargai bunga? Itupun masih tak mahu nak pakai otak lagi?

Kita yang di luar Umno ini telah dapat melihat dengan jelas apa yang berlaku. Apakah Fathul Bari Mat Jahaya tidak boleh melihatnya? Dia pernah menasihati dan melarang ahli Umno dari menyebarkan fitnah ketika kes Anwar difitnah baru-baru ini, akan tetapi langsung tiada sambutan nasihatnya kepada Umno. Tiada harga nasihat dia itu. Datangkanlah ayat-ayat quran, hadis sahih sunan sittah atau fatwa dari ulamak manapun di dunia ini, kalau dah ketegaq (degil dalam bahasa Perlis) tak jadi apa juga. Tapi bila ada isu lain yang akan memberikan kredit kepada mereka seperti fatwa pengharaman yang mereka berikan terhadap kumpulan Bersih 2.0 baru-baru ini, maka mereka akan disuruh beratur di barisan depan untuk tugasan menyalak.

http://youtu.be/ZijF2M4VfDk

Maka benarlah kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz bahawa ulamak dalam Umno hanyalah ibarat terompah kayu yang digunakan untuk ke jamban sahaja. Bisingnya mengalahkan kasut yang mahal tetapi tugasnya hanyalah ke tandas tempat yang jijik dan kotor. Maka begitulah nasib ulamak Umno yang hanya digunakan untuk menyalak lantang atas perkara yang kadang-kadangnya mereka sendiri tahu yang perkara itu tidak betul dan mengelirukan orang ramai, tetapi mereka terpaksa menyalak kerana itulah sahaja tugas utama mereka, iaitu menyalak kepada lawan mereka.

Akan tapi bila tiba kepada sesuatu yang nyata salah Umno, maka mereka tak boleh menyalak kepada tuan mereka. Walaupun mereka sangat-sangat hendak menyalak, mereka kena diam tidak boleh menyalak. Itulah peraturan utama dan “job scope” mereka. Benar-benar hina ulamak yang seperti ini. Maka bertepatanlah dengan perumpamaan yang diberikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan bahawa ulamak muda Umno itu ibarat jatuh ditimpa tangga. Tangga Umno yang mereka naiki itu asalnya diharapkan akan menyampaikan mereka ke puncak tapi jatuh ke atas mereka pula. Malang sungguh. Sakit dapat, malupun dapat.

Sebenarnya banyak lagi bukti-bukti kebencian Umno kepada ulamak-ulamak yang boleh diberikan. Mereka tidak ada perasaan untuk meletakkan ulamak pada tempat yang tinggi sesuai dengan ilmu mereka.Antaranya, kita boleh lihat siapakah dikalangan pimpinan tertinggi Umno yang datang dari bidang agama?Hishamudin mungkin? Atau Zahid Hamidi? Atau mungkin Najib sendiri?Jadi boleh kita lihat di mana kedudukan ulamak dalam parti Umno dan bandingkan dengan PAS, yang jelas memperuntukan satu dewan khas iaitu Dewan Ulamak bagi menunjukkan betapa seriusnya PAS dalam menjulang martabat orang yang berilmu dan menggunakan semaksimum mungkin ilmu-ilmu mereka.

Begitulah hinanya ulamak-ulamak dalam Umno diperlakukan. Apakah kesudahan mereka nanti kita sudah boleh mengagak melalui sejarah yang berulang-ulang berlaku di dalam organisasi mereka iaitu kehinaan dari puak-puak mereka sendiri. Dan amatlah kita takut bahawa kehinaan itu berterusan sehingga ke akhirat kerana ketiadaan prinsip dalam memperjuangkan Islam. Nauzubillah.

Kita menyeru kepada ulamak-ulamak didalam Umno tak kira samada yang muda mahupun yang tua agar mengambil nasihat Dr. Asri supaya merenung kembali, apa hasilnya mereka duduk di dalam Umno. Dengan keadaan yang mereka alami sekarang maka adalah lebih baik mereka keluar dari Umno kerana apabila keluarnya mereka dari kepompong kejahilan Umno, maka ulamak-ulamak ini akan bebas menyatakan kebenaran. Percayalah tiada apa yang boleh mereka perjuangkan di dalam Umno kecuali untuk kesenangan dunia semata-mata.

Samada mulia dimata masyarakat atau hina dimata mereka bukanlah menjadi perkara utama akan tetapi mulia disisi Allah kerana amar makruf nahi mungkar dan ketaqwaan itulah yang lebih utama. Bukankah itu yang mukmin idamkan?

Dan diatas alasan-alasan yang diberikan di atas, percayalah, Umno memang bencikan ulamak….

Pandangan ini adalah pendapat penulis.Ianya bukan pendapat pihak kami kecuali dinyatakan demikian

Saturday, July 23, 2011

Bukit Payong : Umno adalah satu puak yang sangat suka sekiranya orang ramai keliru dengan sesuatu perkara penting kerana itulah peluang terbaik mereka untuk menangguk di air keruh.

Contoh yang terbaik adalah isu yang ditimbulkan mereka dengan mengatakan bahawa PAS sudah membuang dasar Islamnya semata-mata kerana tunduk kepada DAP dengan pengenalan tema muktamar Membangun Negara Berkebajikan baru-baru ini.

Mereka dengan sengaja memainkan isu itu melalui sodaldu-sodaldu mereka di merata-rata tempat dengan harapan isu itu akan mengelirukan masyarakat dan mempercayai bahawa Islam bukan lagi dasar yang diperjuangkan PAS.

Dalam ceramah yang diadakan di PASTI Bukit Payong semalam,Adun Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah telah merungkaikan kekeliruan itu dengan memberikan perbezaan antara dasar dengan tema muktamar.

Beliau menjelaskan bahawa dasar PAS dalam perlembagaannya,fasal 3 dengan jelas menyebut dasar PAS adalah Islam, sekaligus membuktikan dasar PAS masih meletakkan Islam di tempat teratas.

Manakala tema muktamar pula adalah untuk menjelaskan halatuju tahunan parti yang sentiasa berubah setiap tahun.

Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu turut menyentuh isu berkaitan BERSIH 2.0 dimana menurutnya situasi ketika perhimpunan aman itu menjelaskan kepada masyarakat bahawa Umno membenci orang melayu.

“Mengapa ketika tangkapan dibuat, mereka menangkap pemimpin melayu sahaja?Sedangkan Lim Kit Siang ada,Lim Guan Eng ada, tapi tak ditangkap, mengapa?

Sebab mereka nak tipu rakyat sedangkan sebenarnya mereka benci kepada pemimpin melayu yang lain dari mereka. Dalam ketika lain mereka kata mereka membela melayu,”terang beliau.

Ustaz Mohd Nor menegaskan, PAS sentiasa berusaha menjelaskan kepada rakyat perkara yang sepatutnya rakyat tahu kerana PAS adalah parti yang bertanggungjawab dan tidak mahu memperbodohkan rakyat hanya kerana ingin berkuasa.

Beliau mengakhiri ceramahnya dengan memberi peringatan terutamanya kepada Umno bahawa hidup ini bukan sekali di atas dunia ini sahaja,tetapi kita akan hidup sekali lagi dan dihisab oleh Allah sebelum kita dihantar samada ke syurga atau ke neraka.

Ceramah itu turut disertai oleh Badrul Hisham Shaharin (CheGu Bard) dan Ustaz Firdaus Jaafar (Ahli Parlimen Jerai).

Majlis kemudiannya dihangatkan pula oleh CheGu Bard (kanan) dengan pendedahan-pendedahan berserta fakta-fakta yang cukup merimaskan Umno BN.

Antaranya ialah apabila Umno mengamuk memainkan isu ketuanan melayu kerana Pulau Pinang diperintah Lim Guan Eng dari DAP.

Sedangkan ketika Umno mempunyai 15 kerusi DUN, dan Gerakan hanya bertahan dengan lapan kerusi pada tahun 2004, mereka dengan lapang dada mengangkat Koh Tsu Koon menjadi Ketua Menteri.

Menurut CheGu Bard yang juga Ketua Cabang Rembau, ini kerana asalkan puak-puak Umno dapat projek mereka tak kisah kalau melayu hancur sekalipun.

“Dalam isu tanah Kampung Baru, di Parlimen, Lim Kit Siang yang tentang cadangan untuk mengagihkannya kepada bukan melayu, akan tetapi pemimpin Umno setuju nak bagi.Ini ke melindungi hak melayu?,”tanya beliau.

Antara lain pendedahan yang dibuat ialah berkenaan perbelanjaan isteri Perdana Menteri Malaysia yang dia anggap saing tak tumpah seperti Imelda Marcos isteri bekas Presiden Filipina yang begitu gila berbelanja.

Juga berkenaan penyelewangan pemberian tanah di Felcra Sungai Malau, Perak yang telah diberikan kepada kroni yang tidak layak.

Bagi memahamkan pendengar tentang definasi demokrasi yang sebenar, beliau menerangkan dalam demokrasi sebenarnya kerajaan yang sepatutnya takut kepada rakyat.

Bukannya rakyat yang takutkan kerajaan seperti yang berlaku di Malaysia sekarang ini.

Beliau kemudiannya menggesa agar pendokong-pendokong PR agar sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri dengan penyokong Umno bagi menyampaikan maklumat kepada mereka.

Ini kerana penyokong Umno telah dipesongkan pemikiran mereka oleh Umno daripada mendapat maklumat sebenar.

Manakala penceramah terakhir, Ustaz Firdaus Jaafar (kiri)pula yakin dan percaya bahawa pasukan polis boleh dibentuk menjadi lebih berhemah apabila PR memerintah.

Dan rakyat pasti tidak akan benci dan takut lagi kepada polis lagi dengan imej mereka yang sepatutnya melindungi rakyat dan lebih bersikap profesional.

Menyentuh berkenaan individu yang menfailkan saman kepada kerajaan Kelantan kerana mengharamkan judi, beliau hairan apa yang biro agama dan ulamak muda Umno lakukan.

Sedangkan mereka sentiasa melaung-laungkan bahawa mereka adalah parti yang melindungi Islam.

Berkenaan isu larangan pusat hiburan beroperasi dalam bulan ramadhan di Kedah pula, beliau berkata Umno dan MCA sendiri bercelaru dan tak sekata sesama mereka.

Umno setuju dengan kerajaan PAS Kedah untuk tidak membenarkan orang Islam dari memasuki pusat hiburan sedangkan MCA pula kata larangan itu menafikan hak asasi manusia.

Tetapi di Melaka,Umno tidak pula halang cadangan kerajaan negeri untuk melanjutkan masa operasi pusat hiburan dari pukul satu kepada pukul tiga.

Mengakhiri pidatonya, beliau meyakinkan pendengar bahawa PAS memerintah tidak dengan cara politik kampung seperti Umno, tetapi PAS mengangkat demokrasi

Friday, July 22, 2011

Sumber The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Seorang bekas menteri kerajaan pusat, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengingatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak agar melaksanakan sistem pilihan raya yang telus.

Abdul Kadir yang juga Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) berkata sistem pilihan raya yang telus adalah asas kepada sesebuah negara yang mempunyai undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Negara kita selama ini telah memuncak begitu lama, negara yang cukup berjaya sebab rakyat berpegang teguh pada semangat kemerdekaan tetapi malangnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini (prestasi) kita sudah mula menurun dan secara terang-terangan melakukan perkara-perkara yang pelik,” kata beliau.

“Kadang-kadang kita begitu yakin dan sombong, boleh buat benda salah di tempat yang terang, kami rasakan sudah tiba masanya kita berubah dan kembali ke pangkal jalan,” kata Abdul Kadir (gambar) sambil menambah, “merdeka bermakna kuasa diserahkan kepada rakyat.”

“Negara ini kepunyaan rakyat... negara ini hak rakyat dan ini asas yang kita perlu ingat, negara ini bukan bapa saya yang punya, bukan Umno yang punya, bukan PAS yang punya, ini rakyat yang punya,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran Amanah di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di sini.

Bekas wakil rakyat dari Kedah ini pernah mengetuai Kementerian Pelancongan dan Kementerian Penerangan.

Tegas Abdul Kadir, rakyat tidak akan bangkit menentang kerajaan sekiranya pilihan raya yang dijalankan dibuat secara telus dan adil.

Selain itu jelas beliau, tuntutan yang dibuat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) ada asasnya.

“Bila sudah merdeka rakyat perlu pilih kerajaan, kita adakan pilihan raya sebab rakyat ramai, rakyat buat keputusan siapa yang mereka mahu (jadi kerajaan),” katanya.

Kata beliau, “sejak akhir-akhir ini kita dengar macam-macam tentang pilihan raya bersih dan adil itu adalah asas sistem pilihan raya.”

“Kalau tidak telus macam mana rakyat nak pilih... kerajaan kata pilihan raya (sekarang) sudah bebas, itu pandangan dia tapi pandangan lain (termasuk) Bersih 2.0 kata pilihan raya tidak telus,” katanya.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan agar wakil pembangkang diletakkan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan ketelusan sistem yang ada sekarang.

“Ada cadangan minta wakil pembangkang duduk dalam SPR, saya setuju... kalau kerajaan kata pilihan raya bersih buatlah, apa nak takut, selesai masalah.

“Kerajaan tahu pilihan raya itu bersih atau tidak, rakyat pun tahu, kita pun tahu... biarlah bersih betul supaya rakyat dapat pilih kerajaan yang mereka kehendaki,” katanya.

Pada 9 Julai lalu, ribuan rakyat membanjiri ibu negara untuk menuntut pilihan raya bebas dan adil yang turut disertai Pakatan Rakyat.

Amanah diketuai Tengku Razaleigh Hamzah.

Ia juga membariskan beberapa tokoh terkenal tanah air termasuk Datuk Seri Daniel Tajem, Datuk Seri Ong Tee Keat, Datuk S. Subramaniam, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Datuk Seri Bujang Ulis selaku timbalan presiden.

Thursday, July 21, 2011

Ceramah Pemuda




21hb Julai 2011

Khamis malam Jumaat

selepas isyak

Di PASTI Bukit Payong

(Berdekatan Sek.Keb.Bukit Payong)



Penceramah :



Ustaz Mohd Nor Hamzah

Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu/

Adun Bukit Payong







Badrul Hisham Shaharin (CheGu Bard)
Ketua Cabang Keadilan Rembau







Ustaz Firdaus Jaafar

(Ahli Parlimen Jerai)


Dijemput hadir beramai-ramai

Wednesday, July 20, 2011


Baru tadi setelah selesai menyampaikan kuliah di Masjid Pengadang Baru, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah terus ke Kampung Padang Tanjung bagi menziarahi seorang warga emas yang diberitakan sedang uzur.

Alhamdulillah Puan Azizah Jusoh yang uzur itu sudah agak segar dari sakit lelahnya. Menurutnya lagi, doktor juga memaklumkan yang dia juga mengalami masalah jantung.

Beliau begitu ceria menyambut kedatangan YB ke rumahnya. Puan Azizah akan ke Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

YB juga mengambil kesempatan menghulurkan sedikit sumbangan kepada Puan Azizah.

Sebelum pulang beliau sempat memohon semua supaya mendoakannya dapat bertemu dengan ramadhan yang bakal menjelma. Begitulah perasaan hamba yang cintakan rahmat dari Allah. Sentiasa berharap agar dapat melipat gandakan pahalanya.

Sama-samalah kita mendoakan Makcik Azizah agar dapat dia bertemu dengan ramadhan. Juga kepada YB semoga tanggungjawab ini akan dikira sebagai hasanah diakhirat nanti insyaAllah.

Terima kasih YB atas keperihatinanmu.

Sumber : The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 19 Julai — PAS menyifatkan pihak-pihak yang membantah PAS menyokong perhimpunan Bersih 2.0 dengan alasan ia dipimpin oleh bukan Islam, Datuk S Ambiga sebagai buta sejarah Islam.

“Nabi Muhamad S.A.W. menyertai perjanjian Al Fudul di Mekah untuk membantu mereka yang dizalimi ketika Nabi belum menyebarkan Islam. Dan Baginda berkata dalam satu hadisnya, sekiranya ia berlaku lagi (semasa sudah menyebarkan Islam), aku akan menyertainya.

“Jadi berdasarkan sejarah ini, orang yang kata kat PAS itu tidak tahu sejarah Islam sebenarnya,” kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) dalam wawancara khasnya dengan Harakahdaily dan Harakah.

Beliau mengulas kenyataan ramai pemimpin BN khasnya di kalangan pemblog Umno yang mempertikaikan PAS yang menyokong perjuangan Bersih 2.0 yang dipimpin oleh Datuk S Ambiga.

Mereka membuat pelbagai dakwaan buruk terhadap Ambiga dan mengecam PAS yang menyokong dan menyertai perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu.

Turut menyertai perhimpunan itu dan ditangkap polis adalah Hadi sendiri yang terpaksa naik 'black maria' polis dan dibawa ke balai polis Jinjang.

Selain beliau turut ditahan ialah timbalannya Mohamad Sabu dan dua naib presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Menurut Hadi, semasa Nabi belum menyebarkan Islam, bapa saudara beliau telah mengajaknya bertemu dengan para pemimpin Arab ketika itu di rumah Abdullah Al Judaan di kota Mekah.

Ia turut disertai sama oleh Abu Jahal dan Abu Lahab iaitu dua pembesar Quraisy ketika itu yang banyak menentang perjuangan Islam yang dibawa baginda.

Perjanjian yang dinamakan Al Fudul itu adalah bertujuan untuk mengikat janji bagi mempertahankan mereka yang dizalimi.

Selepas sudah menyebarkan Islam, Baginda menceritakan peristiwa ini kepada para Sahabat Baginda dan berkata, jika perjanjian sebegitu berlaku lagi, Baginda akan menyertainya.

“Saya yakin, Datuk Ambiga adalah profesional yang adil. Begitu juga Datuk Samad Said. Takkan mereka sama dengan Abu Jahal dan Abu Lahab. Jadi apa salahnya kita bersama-sama memperjuangkan kebaikan yang ingin dibawa oleh Bersih 2.0 pimpinan mereka,” kata Hadi lagi.

Sunday, July 17, 2011



Innalillahi wainna ilaihi rojiuun


Sumber Malaysian Insider

TERKINI @ 11:14:38 PM July 17, 2011KUALA LUMPUR, 17 Julai — Ahli Parlimen Titiwangsa dari PAS Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali yang menerima rawatan kerana kanser di Hospital Selayang meninggal dunia malam ini.

Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Ya, saya pun baru dimaklumkan mengenai berita ini. Tapi saya belum ada butiran lanjut,” kata seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi.

Wakil rakyat penggal pertama itu (gambar) meninggal dunia kira-kira 10.13 malam tadi, kata seorang anggota keluarga menerusi mesej SMS.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan esok, kata anggota keluarga itu.

“Jenazah akan diuruskan pagi esok, akan dibawa ke Masjid Al-Akram, Datuk Keramat,” katanya.

Maklumat daripada ibu pejabat PAS menyebut jenazah akan diuruskan sekitar 8 pagi esok.

Sejak tengah hari tadi, khabar angin mengatakan Dr Lo’ Lo’ yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat telah meninggal dunia disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas SMS dan laman sosial Facebook dan Twitter.

Bagaimanapun ia dinafikan oleh pemimpin-pemimpin kanan parti yang secara kebetulan mengadakan mesyuarat di Ampang pagi tadi.

Dr Lo’ Lo’, 53, dirawat di Hospital Selayang akibat kanser.

Pada pilihan raya umum 2008, Dr Lo’ Lo’ menewaskan calon BN Datuk Aziz Jamaludin Tahir dengan majoriti 1,972 undi.

Allahyarham Dr Lo’ Lo’ merupakan wakil rakyat kelima dari PAS meninggal dunia selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Sebelum ini PAS kehilangan Ahli Parlimen Bukit Gantang dan disusuli Adun Permatang Pasir, Manek Urai dan Galas.

Kekosongan kali ini tidak akan membawa kepada pilihan raya kecil.

Tok Dir 16 Julai : PAS mensasarkan untuk menawan kembali negeri Terengganu dalam pilihanraya akan datang yang dijangkakan diadakan seawal-awalnya pada akhir tahun ini.

Sehubungan dengan itu Dewan Muslimat DUN Bukit Payong ( PEMAYUNG) telah mengadakan Program Himpunan Muslimat semalam sebagai persediaan awal bagi menggerakkan tenaga muslimat di DUN Bukit Payong.

Program itu telah dirasmikan oleh setiausaha PAS Kawasan Marang Encik Hassan Jusoh yang menggantikan ADUN Batu Burok Dr.Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Dalam ucapan perasmiannya Encik Hassan memuji program yang disifatkannya sebagai pro aktif dalam menghadapi pilihanraya ke 13 nanti.

Peserta-peserta program seramai lebih kurang 100 orang yang kelihatan begitu komited dengan program ini, diseru supaya meninggalkan cara gerak kerja gaya lama iaitu membuat kerja secara ad-hoc (bidan terjun).

Mereka juga digesa untuk melakukan lebih banyak program yang tersusun dan terancang seperti ini bagi memberikan kesan yang lebih baik lagi bagi pengundi terutama bagi kempen pilihanraya.

Sepertimana firman Allah dalam surah as-saff yang menyatakan bahawa Allah suka melihat barisan tentera Islam yang berbaris dalam satu saf yang tersusun, maka pendekatan ini juga perlu diterapkan didalam jemaah.

“Terengganu yang mempunyai 32 kerusi Dun, dan kita memerlukan minima 17 kerusi untuk merampas balik tampuk pemerintahan.

Dan saya berharap Bukit Payong adalah salah satu daripadanya.

Bukan senang untuk melawan BN sebab mereka menggunakan semua jentera yang ada seperti Jabatan Pelajaran, Kemas dan Kementerian Luar Bandar.

Tapi mereka merancang, Allah juga merancang dan sudah tentu perancangan Allah yang terbaik,” ujar beliau memberi semangat kepada peserta.

Program yang sepatutnya diakhiri dengan persembahan oleh Ustaz Akil Hayy pada sebelah malam, terpaksa dipendekkan kepada jam lima petang kerana Ustaz Akil tidak dapat hadir disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan.

Friday, July 15, 2011


Titian Baru 15 Julai : Penyokong Umno digesa agar membandingkan keadaan hidup mereka dengan keadaan hidup pemimpin mereka yang diibaratkan bagai langit dengan bumi.

Kadangkala penyokong Umno terpaksa berhempas pulas untuk mencari sesuap nasi, sedangkan pemimpin mereka hidup dengan penuh kemewahan sehingga adakalanya kemewahan itu diluar jangkaan akal yang waras.

Sebagai contoh, isteri Perdana Menteri ketika ditinggal di Dubai,beliau dilaporkan telah menetap di hotel yang sewaannya mencecah seratus ribu ringgit semalaman.

Kini ada laporan pula terhadap Rosmah berkenaan harga cicin yang ada dalam simpanannya, dikatakan berharga RM24juta dan tidak dikenakan cukai.Ini sudah tentu sekiranya benar, satu pengkhianatan terhadap rakyat.

Gesaan ini dibuat oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah dalam ceramahnya di sini semalam.

Dalam ucapannya lagi, beliau juga secara berseloroh membandingkan nasib gajah di Santuari Gajah di Kenyir adalah lebih baik berbanding nasib penyokong Umno di Terengganu.

“Gajah di Santuari tu makan RM1000 sehari.Penyokong Umno?

Maknanya gajah di Terengganu makan sedap lagi dari penyokong Umno di Terengganu,”katanya berseloroh.

Justeru itu beliau mengajak semua terutama penyokong Umno memikirkan dengan mendalam akan perkara itu yang sedang berlaku di Malaysia sekarang ini dan mengajak mereka berubah demi kebaikan mereka juga.

Ceramah malam tadi turut disertai oleh dua orang lagi pemidato hebat dari Terengganu iaitu Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ustaz Ridhuan Mohd Nor.

Manakala Ustaz Wan Sukairi (kiri) mengajak pendengar agar menjadikan peristiwa pada Israk Mi’raj sebagai panduan dalam kehidupan.

Mengambil contoh solat yang telah diwajibkan ketika peristiwa itu, walaupun kita kena mengikut imam, tetapi apabila imam melakukan kesalahan, wajib kita menegurnya dan mungkin sampai ke tahap mufaraqah.

Begitulah juga apabila hak ita sebagai rakyat dirampas, maka kita wajib menegur pemimpin.Tiada lagi ketaatan apabila pemimpin melampaui batas yang Allah tetapkan.

Inilah perkara utama menurutnya yang ditekankan oleh Bersih 2.0 baru-baru ini iaitu meminta kembali hak rakyat yang telah dirampas oleh kerajaan dan sekutu-sekutu mereka.

Dengan membandingkan keadaan pilihanraya di Turki yang menurut beliau lebih telus dan adil, beliau berharap tuntutan Bersih 2.0 akan dipenuhi kerajaan dalam masa tiga bulan, atau Bersih 3.0 akan diadakan.

“Di Turki, Election Board boleh membatalkan membatalkan kelayakan calon atau parti yang bertanding sekiranya mereka melanggar peraturan pilihanraya tak kira dari kerajaan atau pembangkang,” katanya.

Kerajaan tidak dibenarkan mengumumkan sebarang projek ketika kempen berbanding di Malaysia dimana projek-projek bukan sahaja yang sudah siap,malahan yang belum buat siap turut dirasmikan ketika kempen pilihanraya.

Ustaz Wan yang juga Setiausaha PAS Kawasan Kuala Terengganu mengakhiri pidato beliau dengan mengajak pendengar meneliti kezaliman-kezaliman yang telah dilakukan Umno kepada rakyat.

Atas alasan kezaliman inilah menurut beliau tidak melayakkan Umno untuk menjadi pemimpin rakyat.

Sementara itu penceramah terakhir, Ustaz Ridhuan Mohd Nor (kanan) pula banyak mengimbas kembali sejarah lalu yang telah terjadi kepada politik tanahair.

Antaranya ialah ketakutan Umno untuk mengadakan pilihanraya majlis perbandaran adalah kerana majoriti pengundi di bandar-bandar adalah penyokong pembangkang.Menunjukkan Umno takut kepada kekalahan.

PAS tegasnya tidak pernah takut dengan kekalahan. Sejarah telah membuktikan yang PAS walaupun ditekan, ditindas dan ada sebahagian ahli PAS diseksa, tapi PAS tetap komited dengan perjuangan.

PAS tetap memilih jalan mengikut lunas undang-undang yang ada dan ini sekaligus menafikan Bersih 2.0 yang turut disertai PAS baru-baru ini adalah gerakan untuk menjatuhkan kerajaan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan mendadak senarai pemilih di Selangor yang telah mencecah 600 ribu orang lebih.

Umno menurutnya akan pasti berhabis-habisan mempertahankan kedudukan mereka dengan apa cara sekalipun walau dengan cara yang salah.

Ini menurut Ustaz Ridhuan, adalah kerana teori domino sedang berlaku di Asia Tenggara.

“Di Thailand, kerajaan Abhisik jatuh. Di Singapura PAP telah hilang 40 peratus undi popular yang menyebabkan Lee Kuan Yew yang dikatakan antara 10 pemimpin terhebat dunia meletakkan jawatan sebagai Menteri Mentor.

Inilah yang membimbangkan Umno. Teori domino sedang berlaku di Asia Tenggara,”katanya.

Akhirnya beliau yakin perhimpunan aman Bersih 2.0 akan menjadi titik kejatuhan kerajaan Umno BN terutama dengan peristiwa kematian allahyarham Baharudin Ahmad yang sehingga kini hasil bedah siasatnya belum diumumkan.

Wednesday, July 13, 2011


Sumber : The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Dalam pandangan dilihat menyentuh kesan perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Putrajaya telah mempergunakan pemimpin agama untuk mempertahankan kuasa sebagaimana disaksikan di rantau Timur Tengah.

Bekas mufti Perlis (gambar) berkata pemerintah di Timur Tengah yang sebahagian besarnya adalah “korupsi dan zalim” mempergunakan pemimpin agama untuk membela mereka.

“Mereka (pemimpin agama) memahami nas-nas al-Quran dan Hadis secara literal dan menganggap urusan muamalat dan siasah sama seperti ibadat khusus yang tidak boleh dilakukan pembaharuan dan tokok tambah,” kata tokoh agama yang memperlihatkan pendirian progresif.

Tenaga akademik dari Universiti Sains Malaysia ini memberitahu, keadaan itu wujud apabila kelompok terbabit mentafsir hadis-hadis politik secara literal, yang seakan-akan Islam memberikan ‘lesen’ besar kepada pemerintah untuk melanyak rakyat dan rakyat pula diikat kaki, tangan dan mulut dengan nas-nas agama dari bertindak atau membantah.

“Lebih hodoh lagi, hanya nas-nas yang ‘kelihatan’ propemerintah sahaja yang dibaca, diforumkan, diwar-war dalam pelbagai saluran sedangkan nas-nas yang memberikan amaran terhadap kezaliman pemerintah tidak pula dicanangkan,” kata beliau.

Di Malaysia kata Asri, “kita dapat melihat fonomena ini semasa isu demonstrasi panas baru-baru ini dalam masyarakat.”

“Di sini bukan bertujuan menyokong atau menentang demonstrasi aman, tetapi sekadar ingin membincangkan kefahaman sesetengah pihak mengenai hadis-hadis berkaitan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Sabtu lalu, ribuan rakyat Malaysia telah menyertai Himpunan Bersih 2.0 anjuran Bersih 2.0 untuk menuntut transformasi pilihan raya yang perlu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan dan disokong Pakatan Rakyat mengemukakan lapan tuntutan yang perlu dilaksanakan iaitu membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat ditahan.

Jelas Asri, tindakan berbentuk keganasan tidak boleh dilakukan terhadap rakyat sekiranya tiada pententangan dilakukan termasuk perkara yang boleh menyebabkan kerosakan yang lebih besar.

“Hadis tentang taat dan patut sekali pun dirampas harta dan dipukul itu, ia merujuk kepada keadaan di mana jika penentangan dilakukan akan menyebabkan kerosakan yang lebih besar seperti pemerintah akan membunuh atau memusnah orang lain yang tidak bersalah sedang kita tidak mampu memberikan sebarang kesan kepada mereka.

“Ini terutama di zaman dahulu yang terkenal dengan penumpahan darah. Begitu juga di bawah rejim-rejim yang zalim yang hanya merugikan para penentang dan negara secara umumnya,” katanya.

Jelas beliau, keadaan kini sudah berubah yang mana setiap negara terikat dengan peraturan antarabangsa terutamanya mengenai hak asasi manusia.

Namun, katanya, apabila dunia berubah negara-negara terikat dengan peraturan antarabangsa mengenai hak asasi rakyat.

“Juga, apabila negara-negara itu meletakkan dalam perlembagaan mereka tentang hak-hak rakyat, dalam ertikata lain membantah pemerintah dalam negara demokrasi aman itu adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap menentang negara kerana diiktiraf dan dijamin oleh perlembagaan negara dan persetujuan antarabangsa,” katanya.

“Maka, konteks Hadis sudah berbeza,” kata Asri sambil menambah, “Islam bukanlah agama yang memberikan lesen kepada pemerintah untuk berbuat apa sahaja dan rakyat wajib mendiamkan diri.”

Oleh itu tegas beliau, jangan bawa tafsiran zaman Abbasiyyah ke zaman yang sudah berubah.

Dengan mengambil contoh daripada Hadis, Asri berkata “Rasulullah sendiri sebagai pemerintah membenarkan diri Baginda dibalas.”

Tegas beliau, pemerintah tidak dibenarkan sama sekali untuk bertindak sewenang-wenangnya apatah bertindak ganas terhadap rakyat.

“Jika pemerintah itu diberikan wewenang untuk memukul dan mengambil tanpa dipersoalkan, apakah ertinya sesuatu pemerintahan itu?

“Apakah mereka seperti penzalim dan perompak berlesen yang dilindungi oleh nas-nas agama? Maha Suci Allah dari menurunkan agama yang seperti itu,” katanya.

Marang 13 Julai : Dewan Pemuda PAS Terengganu (DPPT) menyambut baik cadangan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainudin Maidin (kanan) untuk memberikan ruang kepada semua parti yang bertanding untuk muncul di RTM.

Ketua DPPT, Ustaz Mohd Nor Hamzah semasa ditemui berkata DPPT memandang positif cadangan itu kerana ianya akan membuka ruang kepada sistem demokrasi yang lebih bermakna.

“Kita memang mengharapkan kesamarataan dalam penyiaran berita samada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang,”ujarnya.

Bercakap kepada pemberita sebuah akhbar harian hari ini Tan Sri Zainudin mencadangkan sekurang-kurangnya 15 ke 30 minit masa diberikan kepada setiap parti bagi menerangkan manifesto masing-masing.

Menurutnya yang juga dikenali dengan panggilan Zam itu, ia adalah langkah yang terbaik supaya rakyat boleh melihat dan menilai sendiri manifesto yang akan dibawa oleh setiap parti pada pilihan raya umum tersebut.

Cadangan Zam ini adalah hasil dari desakan Bersih 2.0 yang turut mengemukakan tujuh lagi tuntutan-tuntutan lain.

Ustaz Mohd Nor yakin dan percaya dengan kesungguhan kerajaan untuk menegakkan demokrasi yang sejati, hal ini akan dapat direalisasikan.

“Kita juga mencadangkan agar diadakan debat terbuka diantara Ketua Pembangkang dengan Perdana Menteri.

Diharapkan juga semua itu diadakan secara langsung dan dikendalikan oleh moderator yang tidak memihak,”tambahnya lagi.

Sambil beliau mengharapkan suara Zam masih “laku” untuk cadangan ini, DPPT sangat mengharapkan hal ini bukan sekadar penyejuk kepada kehangatan Bersih 2.0

Monday, July 11, 2011

Marang 11 Julai : Dalam kehangatan yang masih terasa kesan dari perhimpunan aman Bersih 2.0 kelmarin, ada kebetulan yang mungkin tidak disedari oleh orang ramai.

Kebetulan yang dikatakan itu ialah berkenaan pihak yang mengarahkan sekatan dan pihak yang menjadi kambing hitam atas sekatan kepada perhimpunan itu.

Jika dilihat kepada Misi Kemanusiaan International Freedom Flotilla 2, pasukan bantuan itu telah disekat oleh rejim Israel dengan menggunakan Greece sebagai kambing hitam mereka.

Pasukan itu yang turut disertai oleh Umno telah menyatakan bantahan mereka kepada Greece kerana menghalang pasukan itu dari meneruskan pelayaran ke Palestin kerana tekanan rejim Israel.

Sementara dalam perhimpunan kelmarin, pihak polis nyata telah dijadikan kambing hitam sebagai perisai hadapan bagi Umno yang berada di belakang mereka.Inilah kebetulan yang terjadi.

Diminta mengulas berkenaan persamaan ini, Ustaz Mohd Nor dengan tegasnya menyatakan bahawa hal ini membuktikan 1Malaysia sememangnya ditaja oleh yahudi yang bertopengkan APCO.

“Umno menyatakan bantahan dan marahkan Israel kerana berada di belakang Greece yang menyekat pasukan Flotilla, tetapi mereka juga berbuat hal yang sama kepada perserta perhimpunan aman Bersih 2.0 kelmarin.

Umno pula cuba menggagalkan Bersih 2.0 dengan menggunakan polis,” katanya.

Misi kemanusiaan Flotilla untuk membantu rakyat palestin yang tertindas, begitu juga misi perhimpunan Bersih 2.0 adalah untuk membantu rakyat Malaysia keluar daripada kezaliman dan ketidakadilan sistem pilihanraya di Malaysia.

Oleh itu, tiada alasan lain kecuali sememangnya Umno mengikut cara Israel dalam menangani hal yang mereka fikirkan akan merugikan mereka walaupun dengan mengkambing hitamkan pihak lain.

“Dengan akta-akta rimba seperti ISA yang masih dikekalkan oleh Umno, yang mana ianya adalah hasil tinggalan warisan Israel melalui British kepada Umno.

Maka tidak menghairankan jika tindak tanduk Umno menyamai Israel,”ujar beliau.

Thursday, July 7, 2011

Petikan Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Julai: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) akan menghantar 15,000 orang ahlinya ke Kuala Lumpur untuk mengikuti himpunan aman Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini.

Mereka akan bergerak bersendirian dengan semangat kental untuk bersama-sama Bersih 2.0 mendesak kerajaan melaksanakan pilihanraya yang bersih dan adil di tanah air.

Ketua DPPNT, Mohd Nor Hamzah (gambar) menjelaskan, pemuda PAS Terengganu seperti juga pemuda PAS di negeri-negeri lain di seluruh negara sememangnya begitu bersemangat untuk menyertai perhimpunan itu sejak mula dirancangkan.

Beliau bagaimanapun secara jujur mengakui, semangat mereka mula berkurangan apabila Bersih 2.0 mengumumkan akan mengadakan perhimpunan aman itu di stadium.

"Namun dengan semangat perjuangan yang sudah sedia ada dalam diri masing-masing, semangat mereka itu amat mudah dinaikkan kembali.

"Jadi dengan itu, DPPNT tidak mengalami kesukaran untuk menghantar 15,000 orang ahlinya ke perhimpunan itu, malah boleh melebihi angka yang jauh lebih banyak dari jumlah itu jika kami kehendaki," katanya ketika dihubungi hari ini.

Perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, tegasnya, tidak sepatutnya dihalang oleh pihak kerajaan untuk diadakan kerana ia tidak bertentangan dengan undang-undang, khususnya Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, menyedari hakikat itulah, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sendiri telah mengeluarkan titah khas pada 3 Julai lalu yang antara lain turut meminta kerajaan supaya tidak menzalimi rakyat dan bertindak adil kepada rakyat.

Selain itu, Tuanku sendiri turut bersedia bertemu dan berbincang dengan jawatankuasa Bersih 2.0 berhubung perancangan Bersih untuk mengadakan perhimpunan aman itu.

"Tuanku ternyata bertindak dengan begitu lunak dengan rakyat. Tuanku juga turut membenarkan Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan itu dengan kaeadah-kaedah tertentu," katanya.

Beliau yang juga Adun Bukit Payong amat kesal kerana tindakan kerajaan dalam menangani perhimpunan itu ternyata amat melampau dan ini secara jelas menunjukkan kerajaan tidak mempedulikan arahan Yang di-Pertuan Agong sendiri.

Di Terengganu, beliau turut memberikan contoh tindakan tidak demokrasi yang dilakukan oleh kerajaan apabila pihak polis menangkap Ketua Pemuda PAS Dungun, Syeikh Mohamad Hanafi Abdul Aziz dan 6 orang rakannya pada Sabtu lalu, hanya kerana memasang sehelai banner Bersih 2.0 di kawasan Dungun.

Empat orang daripada mereka telah dibebaskan, manakala 3 orang lagi terus ditahan sehingga diikat jamin sebanyak RM5,000 seorang di Mahkamah Majestret Dungun hari ini.

Selain itu, di Kuala Ibai di Kuala Terengganu pula, seorang pemuda ditahan polis, Ahad lalu, apabila disyaki hendak menjual baju kuning Bersih 2.0, walaupun dakwaan tersebut tidak mempunyai bukti kukuh setelah pihak polis sendiri turut ke rumah pemuda itu untuk mencari baju kuning Bersih 2.0 yang didakwa hendak dijualnya.

Pemuda tersebut tetap juga ditahan polis dan terpaksa dibayar ikat jamin RM3,000, walaupun dakwaan hasratnya hendak menjual baju kuning Bersih 2.0 seperti yang didakwa oleh pihak polis itu sendiri tidak terbukti, malah kalaupun terbukti bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang.

Menurut Mohd Nor, kesemua kejadian itu hanyalah sebahagian dari contoh terkini yang dilakukan oleh kerajaan di Terengganu dan ia secara jelas bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang membenarkan Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan aman dengan kaedah tertentu.

"Itu semua turut bertentangan dengan titah Tuanku yang meminta kerajaan mengutamakan rundingan dengan pihak terbabit untuk menyelesaikan sesuatu masalah termasuk berhubung himpunan aman Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini," katanya yang juga AJK Pemuda PAS Pusat.

Monday, July 4, 2011

Marang 4 Julai : Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberikan alternatif kepada peserta Himpunan Bersih 2.0 untuk mengadakan perhimpunan itu di stadium, maka beliau sebenarnya telah menimbulkan keraguan yang melampau.

Bagi ADUN Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah sekurang-kurangnya ada tiga keraguan yang melampau pada situasi sekarang ini.

Pertama ialah sejauh manakah kefahaman pimpinan Umno BN dalam memahami hak-hak yang terjamin didalam demokrasi. Antaranya ialah hak untuk berhimpun secara aman dimana-mana sahaja.

Tetapi Umno menafikannya dengan mengarahkan perhimpunan itu mesti dibuat di stadium.

Keduanya apabila Perdana Menteri tiba-tiba bersetuju untuk membenarkan perhimpunan yang telah diisytiharkan gerakan komunis sebelum itu, maka dengan sendirinya tuduhan Bersih 2.0 adalah alat komunis sebenarnya fitnah.

Dan ketiga, memorandum dari rakyat yang hendak dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, adakah munasabah ianya hendak diserahkan di stadium.

Ketiga-tiga hujah daripada Ustaz Mohd Nor ini, ternyata memerangkap Umno dan kuncu-kuncunya yang sudah tidak berdaya untuk menipu rakyat dengan fitnah-fitnah mereka.

“Ternyata komunis yang mereka kata itu hanyalah dogengan sahaja. Mana mungkin kerajaan akan berkompromi dengan gerakan bahaya seperti komunis atau subversif yang mengancam keselamatan dan ketenteraman negara.

Jadi apa makna tuduhan yang mereka buat itu? Soal Ustaz Mohd Nor dan sekaligus menganggap Najib telah mem"bersih"kan Bersih 2.0 dari fitnah

Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Terengganu turut mempersoalkan adakah Yang di-Pertuan Agong akan turun mencemar duli ke stadium untuk menerima memorandum itu?

“Ini adalah cadangan yang pelik. Adakah tuanku akan turun ke stadium. Kita nak mengadap tuanku, sepatutnya di istana tempatnya”, ujarnya.

Maka dengan itu rakyat sepatutnya boleh menilai bahawa semua tindakan-tindakan Umno ke atas penggerak-penggerak Bersih 2.0 adalah tindakan yang tidak betul.

Beliau kemudiannya menyeru rakyat agar membuka minda mereka dalam memahami isu ini.

Friday, July 1, 2011

Marang 30 Jun : Kerajaan sepatutnya menjadikan masjid sebagai zon bebas berdakwah dengan membuka ruang ruang kepada semua ulamak untuk berdakwah.

Dengan cara ini masjid insyaAllah akan sentiasa dipenuhi oleh golongan yang mencari-cari kebenaran ilmu. Ini juga akan membuatkan orang ramai akan menjadi lebih kritis dan peka dengan sesuatu isu agama yang baru.

Kepentingan menjadikan zon bebas berdakwah itu juga akan membantu percambahan fikiran masyarakat agar dapat membandingkan sesuatu perkara dengan bebas tanpa pemikiran mereka condong kepada sebelah pihak sahaja.

Saranan ini dizahirkan oleh ADUN Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah, sebagai cadangan balas kepada Umno yang ketika ini masih tercari-cari formula untuk mengimarahkan masjid-masjid di Terengganu.

Di dalam laporan Sinar Harian rabu lalu, Dato' Nasir Ibrahim Fikri dilaporkan tidak berpuashati dengan jumlah kehadiran jemaah ke masjid-masjid kerajaan yang dianggap oleh beliau sebagai mengecewakan.

Beliau dengan sewenang-wenangnya melabelkan rakyat sebagai tidak bersyukur dengan kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan kepada masjid-masjid itu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu kemudiannya menyarankan agar masjid dijadikan sebagai pusat ilmu dan kegiatan kemasyarakatan agar ianya menjadi tempat berhimpunnya masyarakat setempat.

Dengan ini mengikut pandangannya, kemudahan dari kerajaan itu tidak disia-siakan begitu sahaja.

Akan tetapi menurut Ustaz Mohd Nor, cadangan menjadikan masjid sebagai pusat ilmu itu tidak akan berkesan sekiranya masjid-masjid tersebut masih diselubungi oleh pemikiran kolot bahawa semua masjid-masjid kerajaan adalah milik Umno.

“Bebaskan dahulu masjid dari himpitan idealogi Umno iaitu dengan menganggap masjid-masjid itu milik mutlak Umno,”katanya

Dengan PAS telah berjaya membuktikan ahli-ahlinya sentiasa berusaha mengimarahkan masjid, Ustaz Mohd Nor seterusnya menyarankan sepatutnya contoh daripada ahli-ahli PAS itu dijadikan panduan oleh Umno

ARKIB